Tahniah Syed Hussien, Kemenangan Bukti Rakyat Mahukan Kesinambungan Kepimpinan BN – Azalina

KLUANG, 29 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah, yang telah berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Mahkota dengan majoriti 20,609 undi yang amat membanggakan.

Katanya yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, kemenangan ini adalah bukti nyata bahawa rakyat Mahkota mahukan kesinambungan kepimpinan yang telah dimulakan oleh Allahyarhamah penyandang terdahulu, Sharifah Azizah Syed Zain.

“Ia juga menunjukkan bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada BNl untuk terus memimpin dan meneruskan segala usaha baik yang telah dirancang sebelum ini.

“Kejayaan ini juga menjadi isyarat bahawa rakyat menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah BN, yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Rakyat amat menghargai usaha dan sinergi Kerajaan Perpaduan yang dipimpin dengan penuh kebijaksanaan dan dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan berikutan kemenangan BN dalam PRK terbabit.

Ujar Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, beliau yakin dan percaya bahawa Syed Hussein akan menjalankan tugas dan tanggung jawab kepada rakyat Mahkota dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Negeri Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi di atas kejayaan ini serta seluruh jentera BN dan Kerajaan Perpaduan yang sangat komited dalam memastikan kemenangan BN.

“Terima kasih kepada para pengundi DUN Mahkota kerana telah memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada BN. Amanah ini akan kami junjung dan diterjemahkan kepada khidmat bakti yang terbaik untuk rakyat Mahkota,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.