Model Kerjasama BN/PH Semakin Diterima Rakyat, Boleh Diteruskan Di Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 29 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukan sahaja mencerminkan keyakinan rakyat terhadap BN, tetapi juga merupakan penanda aras bahawa formula dan model kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) semakin diterima oleh masyarakat.

Kata Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata BN dengan penuh kesyukuran dengan kemenangan besar itu melalui pertandingan dua penjuru, dengan majoriti melebihi 20,000 undi.

“Rakyat semakin sedar bahawa kestabilan politik amat penting untuk memastikan pemulihan ekonomi negara berjalan dengan lebih cepat.

“Peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia adalah bukti bahawa formula kerjasama ini berjaya mewujudkan suasana yang lebih kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

“Dalam masa terdekat, kita akan menyaksikan nilai mata wang ringgit semakin mengukuh, yang secara langsung akan memberi kesan positif kepada harga barangan yang diharap dapat menurun, membantu meringankan beban rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Ahli Parlimen Kinabatangan itu, kejayaan formula kerjasama ini tidak terhenti di Mahkota sahaja.

“BN Sabah dan PH Sabah perlu memastikan formula dan model kerjasama ini diteruskan di Sabah, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Masih banyak yang perlu dicapai di Sabah, terutamanya dalam aspek kemajuan pembangunan dan usaha menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di negeri ini.

“Walau bagaimanapun, kejayaan menarik pelaburan tersebut bergantung kepada kestabilan politik yang dapat kita wujudkan bersama,” katanya.

Seterusnya ulas Bung lagi, dengan kemenangan ini, BN dan PH akan terus komited untuk membina masa depan yang lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia.

“Kemenangan di DUN Mahkota ini adalah bukti jelas bahawa rakyat semakin memahami keperluan kestabilan politik demi kemakmuran negara, dan kerjasama antara BN dan PH perlu diteruskan bagi membawa perubahan yang positif di Sabah,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.