Kemenangan BN Di PRK Mahkota Tanda Kejayaan Kerjasama Kerajaan Perpaduan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 29 Sept – “Alhamdulillah, Allahu Akbar. Betapa besar nikmat kemenangan yang Allah kurniakan kepada kita. Barisan Nasional (BN) dengan bantuan rakan-rakan parti komponen BN, UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN serta gabungan Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan, Parti PKR, Dap, AMANAH menang majoriti rasmi 20,648 undi mengalahkan calon pihak lawan.”

Demikian ucap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran menerusi laman Facebooknya setelah BN mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan kemenangan bergaya selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh majoriti besar 20,648 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu semalam.

Ujar Dr Asyraf Wajdi, jumlah undi BN di PRK Mahkota adalah hampir sama dengan jumlah gabungan undi BN dan PH ketika Pilihan Raya Negeri Johor 2022.

“Ia menandakan bahawa kejayaan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan hari ini sudah boleh diterima oleh penyokong kedua-dua gabungan parti utama negara kita.

“Nyata juga prinsip kita untuk mengamalkan politik Islam yang sebenar sepertimana di Nenggiri telah diterjemahkan dengan baik di Mahkota.

“Di saat kita difitnah dan dilaga-lagakan oleh lawan, gabungan parti kerajaan perpaduan kekal dengan pendekatan matang menyantuni rakyat. Disaat kita ditohmah dan didajalkan, kita kekal dengan jalan murni membela dan mempertahankan rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Setinggi penghargaan pastilah kepada Ayahanda Presiden YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bijaksana menguruskan perbezaan pandangan dalam parti-parti Kerajaan Perpaduan. Beliau kekal fokus dan tidak terganggu dalam membina semula parti yang tercalar dari pengkhianatan.

“Penghargaan juga kepada Pengarah PRK Dun Mahkota, YAB Datuk Onn Hafiz, YB Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Pengarah, dan YB Datuk Seri Khaled Nordin selaku Pengerusi ‘War Room’ atas pengorbanan dan kecekalan mereka dalam menguruskan strategi di lapangan.

“Sudah tentu tidak dilupakan jentera-jentera UMNO-BN seluruh negara dan parti-parti rakan komponen Kerajaan Perpaduan termasuk PKR, AMANAH dan Dap yang berkorban masa dan tenaga sehingga direzekikan Allah kemenangan manis ini. Sungguh benar pepatah Arab: tidak ada kenikmatan kecuali setelah kepayahan,” katanya lagi.

Semalam, Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, yang sekadar meraih 7,347 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.