Kemenangan Berganda: Terima kasih Pengundi, Penghargaan Untuk Jentera

KLUANG, 28 Sept – Barisan Nasional (BN) bukan sahaja telah berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung semalam malah kemenangan dengan majoriti yang berganda, kata Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Mahkota yang telah memberikan kepercayaan kepada Syed Hussien Syed Abdullah untuk berkhidmat di kawasan berkenaan sekaligus menyambung legasi serta perjuangan Allahyarhammah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Tentunya kepercayaan berkenaan adalah satu amanah yang besar yang akan dipikul oleh Syed Hussein bagi merealisasikan hasrat pengundi sekaligus menjadi mata dan telinga kepada masyarakat setempat. Sekalung penghargaan kepada seluruh jentera UMNO pelbagai peringkat khususnya Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan MKT, UMNO Johor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Komitmen yang cukup tinggi diperlihatkan Pengerusi UMNO Johor yang juga Pengarah PRK BN DUN Mahkota yang bertungkus lumus bersama jentera BN yang lain sepanjang kempen berlangsung. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jentera Wanita UMNO/BN yang tidak mengenal erti penat dan lelah yang sentiasa bergerak menerusi Jalinan Rakyat (JR) merupakan bukti jelas komitmen Wanita dan Alhamdulilah kerjasama dengan pelbagai peringkat parti akhirnya membuahkan hasil pada malam ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi kemenangan besar ini juga memperlihatkan kerjasama jentera BN serta kerajaan perpaduan dalam satu gerak kerja yang cukup baik dan inilah bukti bahawa jika semua pihak berpadu tenaga serta muafakat yang tuntas, membuahkan hasil yang cukup manis.

“Apa pun perlu diingat kemenangan ini bukanlah satu kemenangan untuk kita bermegah sebaliknya sama-sama bersyukur dan memandang jauh ke hadapan kerana pastinya cabaran yang mendatang cukup getir.

“Sekali lagi terima kasih pengundi DUN Mahkota… terima kasih kepada seluruh jentera parti UMNO/BN Johor, serta yang datang daripada seluruh negara termasuklah rakan-rakan kerajaan perpaduan untuk sama-sama membantu Syed Hussien mencapai kemanangan yang penuh bermakna ini,” ujarnya.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Syed Hussien memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid mengumumkan keputusan rasmi PRK berkenaan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pukul 9.10 malam. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.