BN Zahir Kesyukuran, Kemenangan Syed Hussien Beri Keyakinan Angkat Agenda Negara – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Barisan Nasional (BN) menzahirkan kesyukuran atas kemenangan penuh bermakna Syed Hussien Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Johor.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sesungguhnya kemenangan ini adalah merupakan satu amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada BN untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Bagi pihak Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Dewan Tertinggi, BN merakamkan jutaan terima kasih kepada para pengundi DUN Mahkota atas sokongan yang diberikan.
“Setinggi penghargaan buat semua jentera parti BN yang berkampung sepanjang tempoh kempen dengan satu tekad untuk memenangkan calon parti.
“Tidak ketinggalan kerjasama yang dihulurkan oleh rakan-rakan parti daripada Pakatan Harapan (PH) memberikan sumbangan terhadap kemenangan yang cukup bermakna ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada BN Johor.
“Kepada BN Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, kemenangan ini adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Johor.
“Dengan mandat besar yang diterima ia memperkuatkan lagi tekad Barisan Nasional untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama-sama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semoga kemenangan ini sempena dengan sambutan 50 Tahun BN akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak ke hadapan membina kecemerlangan BN yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat,” katanya lagi yang juga Menteri Pendidikan Tinggi.
Semalam, BN mempertahan kerusi DUN Mahkota dengan kemenangan bergaya selepas calonnya, Syed Hussien memperoleh majoriti besar 20,648 undi pada PRK kawasan itu.
Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, yang sekadar meraih 7,347 undi. – UMNO Online