Alhamdulillah… Sama-sama Syukuri Kepercayaan Berganda Pengundi DUN Mahkota

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Kemenangan besar yang dicapai oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota malam tadi membuktikan kerjasama yang erat seluruh jentera parti apabila membuahkan hasil.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kepercayaan pengundi setempat kepada Syed Hussein Syed Syed Abdullah adalah satu kemenangan yang harus disyukuri sebaiknya dan bukannya kemenangan untuk bermegah.

Katanya kejayaan tersebut menggambarkan harapan yang amat besar pengundi serta masyarakat setempat kepada BN dan Syed Hussein untuk berkhidmat sebaiknya.

“Gambaran jelas daripada keputusan PRK DUN Mahkota. Pengundi dan masyarakat setempat mahukan wakil rakyat yang berkhidmat untuk mereka dan BN serta kerajaan perpaduan menjadi pilihan pada hari ini. Alhamdulillah.

“Terima kasih kepada pengundi yang memberikan kepercayaan kepada Syed Hussein dan tentunya amanah yang dipikul oleh beliau akan dilaksanakan sebaiknya dengan sokongan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah kerjasama erat seluruh pasukan BN serta kerajaan perpaduan sepanjang kempen PRK yang berlangsung membolehkan segalanya berjalan lancar dan membuahkan hasil yang cukup manis.

“Sekalung penghargaan kepada seluruh jentera UMNO pelbagai peringkat khususnya Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan MKT, UMNO Johor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Wanita, Pemuda serta Puteri, UMNO negeri dan seluruh rakan-rakan Kerajaan Perpaduan.

“Sekali lagi terima kasih kepada pengundi….terima kasih kepada seluruh jentera parti UMNO/BN Johor, serta yang datang daripada seluruh negara termasuklah rakan-rakan kerajaan perpaduan untuk sama-sama membantu BN mencapai kemenangan.

“Tanpa komitmen…tanpa muafakat…tanpa kerjasama pelbagai pihak mustahil kemenangan berganda dapat dicapai serta direalisasikan pada malam ini. Terima kasih semua,” ujarnya.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Mahkota dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Syed Hussien memperoleh 27,995 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid mengumumkan keputusan rasmi PRK berkenaan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pukul 9.10 malam. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.