UMNO Kedah Junjung Tinggi Sultan Selangor Beri Keampunan, Harap MB Ambil Iktibar

KUALA LUMPUR, 28 Sept – UMNO Kedah menyifatkan nasihat dan teguran yang diberikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap Menteri Besar Kedah adalah tepat dan sangat sesuai apabila pembohongan, tohmahan dan keceluparan sudah sedia menjadi darah daging serta amalan bagi mana-mana ahli politik daripada Perikatan Nasional terutamanya Pas.

Kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata UMNO Kedah menjunjung kasih dan menyanjung tinggi tindakan Sultan Selangor yang telah memberi keampunan terhadap keceluparan Menteri Besar Kedah dalam pentas ceramah yang lalu.

“Bagi UMNO Kedah, ini adalah satu amalan politik yang tidak berlunaskan ajaran sebenar agama dan UMNO Kedah sangat kecewa kerana amalan ini ditunjangi oleh sebuah parti yang ‘menjenamakan’ diri mereka sebagai sebuah parti ‘Islam’,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Terdahulu, MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa beliau menghantar warkah permohonan maaf kepada Sultan Selangor, ekoran kenyataannya mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Semalam, Sultan Selangor menitahkan baginda berkenan menerima permohonan ampun dan maaf Muhammad Sanusi sambil menasihatkan Menteri Besar Kedah itu agar sentiasa menjaga tutur kata dan tatasusila.

Dalam hal ini, Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah juga ingin menyarankan agar Muhammad Sanusi mengambil iktibar dan segera ‘bertaubat’ bukan sekadar hanya apabila berceramah, namun juga mengawal tutur kata dalam mana-mana platform dan sidang media.

“UMNO Kedah juga berharap, permohonan maaf dan pengampunan ini akan memberi satu permulaan yang baik bagi amalan politik matang dan jiwa besar untuk semua parti politik,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit