PRK Mahkota: Ahmad Zahid Zahir Kesyukuran, Penghargaan Kepada Jentera
KLUANG, 28 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan kemenangan diperoleh parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini.
Jelas beliau, menambahkan lagi keterujaan apabila kemenangan tersebut diperoleh dengan majoriti yang lebih tinggi.
“Syukur alhamdulillah, segala puji ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam sekali lagi menganugerahkan kemenangan kepada calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah, dengan majoriti luar biasa melebihi 20 ribu.
“Kemenangan ini adalah legasi jasa yang tidak ternilai Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah yang telah mencurahkan seluruh jiwa raga kepada DUN Mahkota. Jasanya kekal dalam ingatan dan menjadi sumber aspirasi kami untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor yang tercinta ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmar Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu turut sama menzahirkan penghargaan kepada keseluruhan jentera BN dan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang berkampung di Mahkota.
“Terutamanya seluruh jentera Negeri Johor yang diterajui Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi. Kerjasama kukuh dan semangat juang kalian yang tinggi menjadi pemangkin kepada kejayaan ini.
“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral dan saya percaya kejayaan ini menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan beliau,” ujar beliau.
Bagaimanapun katanya, kemenangan ini hadir bersama amanah yang berat serta sebuah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Menurut beliau lagi, kemenangan di Nenggiri dan Mahkota bukanlah asbab untuk BN mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa.
“Sebaliknya, ia adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kami harus berusaha lebih kuat untuk memberikan yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna di masa akan datang.
“Insya-Allah, kami akan terus memperbaiki haluan perjuangan ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO/BN, Kerajaan Perpaduan, dan seluruh rakyat Malaysia.
“Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita,” katanya.
Untuk rekod, berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dipaparkan, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,609 undi setelah kiraan di kesemua 121 peti undi pada 7.50 malam ini.
Syed Hussien memperoleh 27,941 undi manakala Mohamad Haizan meraih 7,332 undi. – UMNO Online