Mahkota: Onn Hafiz Bersyukur BN Menang Besar, Berkat Kerja Keras Semua Pihak

KLUANG, 28 Sept – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur atas kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ujar Onn Hafiz yang juga Pengarah Pilihan Raya BN PRK DUN Mahkota, kemenangan dengan majoriti yang besar adalah berkat kerja keras semua jentera BN dan juga Pakatan Harapan (PH) serta menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

“Syukur alhamdulillah pada malam ini kita berkumpul dalam semangat begitu luar biasa, calon kita Syed Hussien menang dengan majoriti 20,609. Ini adalah berkat usaha semua yang telah berusaha siang dan malam sebulan dua ini untuk memenangkan calon kita.

“Dan sudah semestinya saya sebagai Pengarah Pilihan Raya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat dan pengundi DUN Mahkota yang telah memberikan mandat yang begitu baik kepada Syed Hussien sebagai wakil rakyat di sini,” kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor ketika berucap di Pusat Operasi BN di sini malam ini, meraikan kemenangan BN.

Berdasarkan paparan keputusan tidak rasmi yang disiarkan di pusat operasi itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan calon BN-UMNO Syed Hussien Syed Abdullah, 40, memperolehi 27,941 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN-Bersatu) Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang hanya mendapat 7,332 undi.

Seterusnya, Onn Hafiz juga menyampaikan salam Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti dan Pakatan Harapan (PH) serta rakyat DUN Mahkota.

Onn Hafiz juga menghargai peranan semua jentera baik daripada BN mahupun PH yang berkempen penuh semangat permuafakatan.

“Secara peribadi saya melihat kempen kali ini yang luar biasa. Dalam sejarah saya tak pernah lihat di mana semua jentera wanita, sayap pemuda dan puteri, cawangan, bahagian, bahagian-bahagian angkat seluruh negeri Johor.

“Daripada negeri-negeri angkat seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Daripada rakan komponen MCA, MIC, Friends of BN, PH, PKR, Dap dan Amanah.

“Saya bersyukur di peringkat BN dan rakan-rakan PH kita berkempen secara sihat kerana permuafakatan cukup penting. Dalam kita ghairah berpolitik, berkempen, jangan lupa ada had dan batas,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada hari ini, manakala penamaan calon pada 14 Sept dan pengundian awal 24 Sept lalu.

Terkini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid mengumumkan keputusan rasmi PRK DUN Mahkota di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini.

BN mempertahan kerusi DUN Mahkota dengan kemenangan bergaya selepas calonnya, Syed Hussien memperoleh majoriti besar 20,648 undi.

Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya Mohamad Haizan Jaafar, yang sekadar meraih 7,347 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.