Waspada Kempen Akhir Pihak Lawan, Teruskan Tekad Kekalkan BN Di Mahkota – Mohd Zaidy

KLUANG, 27 Sept – Masyarakat tempatan khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu waspada kempen akhir pihak lawan yang akan menggunakan pelbagai cara bagi mengelirukan pengundi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Ujarnya, hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) esok amat penting dalam memastikan sokongan rakyat terus berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

“Kita telah melihat sepanjang kempen di PRK ini bagaimana PN cuba mengelirukan pengundi dengan melakukan serangan terhadap BN termasuk fitnah dan tohmah sebagaimana tuduhan ada rekod jenayah dan sebagainya.

“Mereka tidak ada alasan lain selain memainkan isu bagi memburukkan calon BN dan lakukan serangan peribadi dan ini bukanlah perkara baharu malah telah menjadi rutin setiap kali pilihan raya.

“Hal ini perlu ditolak malah tidak boleh ada dalam budaya masyarakat kita. Dalam BN kita tentunya telah meneliti dan menilai terlebih dahulu sebelum meletakkan sesiapa menjadi calonnya malah Syed Hussien adalah wakil anak muda yang bersemangat dan bersedia untuk berkhidmat meneruskan kesinambungan perjuangan untuk rakyat Mahkota,” tegasnya kepada UMNO Online.

Katanya, walaupun suasana kempen berpihak kepada BN tetapi semua pihak khususnya jentera parti perlu melaksanakan kerja sehingga ke saat yang terakhir bagi memastikan kemenangan BN.

“Kita perlu menangkan DUN Mahkota dan semua mesti ambil peranan bagi sama-sama pastikan pengundi keluar bagi mengundi. Ini adalah tanggungjawab dan jangan sia-siakan ruang untuk pastikan kestabilan dan kemakmuran terus terjamin,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.