PRK Mahkota: Guna Hak Mengundi Dengan Bijak, Undi Syed Hussein – Norshida

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Gunakan peluang sebaik-baiknya pada hari mengundi dan pilih calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah demi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kata Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim.

Katanya, pengundi DUN Mahkota yang akan membuang undi pada Sabtu ini perlu membulatkan dan tekad membuat pilihan terbaik dengan memilih calon BN Syed Hussein Syed Abdullah demi kesinambungan DUN berkenaan.

“Tanggungjawab yang ada di tangan pengundi adalah cukup besar kerana ianya akan menentukan masa depan kawasan Mahkota itu sendiri.

“Apa pun, pada saat-saat akhir kempen tidak mustahil akan timbul satu persatu tohmahan terhadap BN dan ianya bukanlah perkara pelik kerana matlamat pihak lawan adalah sekadar untuk menimbulkan kekeliruan daripada fakta atau hakikat yang sebenarnya dan sekaligus mereka akan menangguk di air keruh.

“Jadi kepada seluruh pengundi DUN Mahkota termasuklah pengundi luar gunakan hak masing-masing dengan sebaiknya dengan memilih calon BN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Justeru kata Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, gunakan hak sebaik mungkin dalam usaha memastikan hasrat serta matlamat kerajaan negeri dapat dicapai.

“Selamat mengundi kepada semua dan jangan sesekali persiakan ruang serta peluang yang ada demi kecemerlangan DUN Mahkota,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menyeru masyarakat DUN Mahkota agar memberi sokongan padu pada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz yang cukup komited selaku peneraju kerajaan negeri dalam melaksanakan segala perancangan serta pelaksanaan untuk rakyat perlu disusuli dengan kepercayaan yang tuntas daripada masyarakat terutama pengundi yang akan membuang undi Sabtu ini, “ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka 20 pusat mengundi dengan 109 saluran pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit