PRK: Jangan Layan Tohmahan Dibawa Lawan Pada Saat Akhir Kempen – Wan Rosdy

KLUANG, 27 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak terpedaya dakyah dibawa pembangkang menjelang hari terakhir kempen.

Menurut beliau, tindakan tersebut memperlihatkan mereka terdesak dalam meraih populariti saat akhir untuk meraih sokongan rakyat yang bakal menunaikan undi pada esok.

“Jangan dengar ataupun layan tuduhan tohmahan pembangkang kerana mereka kehilangan modal.

“Mereka tidak ada kekuatan untuk membolehkan mereka mencipta untuk memenangi calon mereka.

“Jadi oleh sebab tak ada isu mereka mencipta persepsi, fitnah, macam mana yang mereka mainkan daripada dulu sampai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada pertemuannya bersama pengundi di pusat daerah mengundi Dorset, semalam.

Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dalam pada itu berkata rakyat pada masa kini telah matang dalam menilai calon dan parti yang benar-benar boleh berkhidmat kepada mereka.

Menurut Wan Rosdy, apatah lagi apabila calon yang diketengahkan Syed Hussien Syed Abdullah memiliki kompetensi sendiri sebagai pemimpin muda Kluang.

“Saya yakin pengundi sangat bijak, matang dan dapat melihat sendiri fakta dan auta. Insya-Allah pengundi Mahkota akan melihat fakta dan juga gerak kerja calon kita.

“Calon kita seperti yang katakan sebelum ni, sangat baik, muda, komited, berkhidmat.

“Saya percaya beliau boleh menjadi wakil rakyat yang diserangi oleh pengundi di kawasan ini,” ujar beliau.

PRK ini menyaksikan Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang menjadi taruhan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

PRK ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.