Lawatan BN Ke China: Banyak Perkara Boleh Dipelajari Termasuklah TVET – Hisham Suhaily
KUNMING, 27 Sept – Banyak perkara yang boleh dipelajari sepanjang delegasi Barisan Nasional (BN) berada di negara China sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara berkenaan.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman berpandangan antara lain soal parti sebagai contoh pelbagai perkara boleh dimanfaatkan seperti soal perkaderan dalam usaha memantapkan UMNO itu sendiri.
Jelas beliau sekolah politik yang dipraktikkan di sini cukup baik dan ianya boleh diaplikasikan dalam UMNO agar pelbagai pengisian jati diri terhadap parti terus kekal dalam apa jua keadaan.
“Yang kami belajar sebenarnya, saya pun tak tahu kita ada kelas yang begitu komprehensif di mana kita diisikan dengan perkara-perkara yang kita boleh bawa balik. Yang paling menarik ialah pola politik mereka bagaimana mereka mendoktrinkan ‘polician’ daripada bawah lagi kemudian diasuh sehingga menjadi seorang tokoh politik yang hebat.
“Jadi di situ, kita di Malaysia belum ada lagi sebab kita kan bila ada pemilihan kemudian tokoh tertentu diangkat menjadi ketua. Jadi saya rasa memang sepatutnya kita, selepas kita menjadi seorang pemimpin politik, tokoh-tokoh politik ini perlu dihantar untuk belajar di sekolah politik supaya mereka menjadi seorang ketua yang berkualiti, yang ada integriti dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini
Hisham Suhaili yang juga Ketua Wanita UMNO Langkawi antara delegasi BN ke China sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Selain itu Hisham Suhaily turut berkongsi pandangannya mengenai soal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang begitu meningkat naik di negara China.
“Selain itu, apa yang menarik perhatian saya ialah bila kita pergi ke Beijing, ke Polytechnic, di situ kita melihat pendidikan TVET mereka jauh lebih maju daripada negara kita Malaysia di mana patut kita contohi dengan prasarana yang dilengkapi dengan suasana yang cukup hebat, kawasan yang selesa kepada pelajar-pelajar.
“Dan di situ kita melihat bahawa mereka menjadikan pendidikan TVET ini satu aspek yang perlu ditekankan kepada rakyat mereka, khususnya kepada mereka tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.
“Begitu juga saya sangat tertarik dengan cara dan budaya mereka mendisiplinkan rakyat dengan semangat patriotik, cintakan negara yang disematkan daripada kecil lagi. Jadi itulah saya rasa sekolah politik ini bukan hanya kepada politik, mungkin daripada sekolah rendah kita latih anak-anak kita untuk hantar ke program-program kenegaraan supaya dari kecil mereka telah diasuh untuk semangat dan juga didikan cintakan negara kita,” ujarnya.
Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, Barisan Nasional (BN) berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC).
Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online