Kekalkan Kestabilan Mahkota, Pilih Calon No 1 Syed Hussien – Ahmad Zahid


KLUANG, 27 Sept – Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok, selepas tempoh 14 hari berkempen tamat tengah malam ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak pengundi di DUN Mahkota untuk mengekalkan kestabilan DUN tersebut dengan mengundi calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

Ini kerana katanta adalah bagi mengekalkan kestabilan di DUN Mahkota.

“Inilah peluang kita untuk memastikan DUN Mahkota terus dibangunkan dengan baik di bawah kepimpinan yang cekap dan berwawasan.

“Pilihlah Syed Hussien, calon nombor satu, calon BN yang jelas mempunyai semangat juang dan komitmen yang tinggi untuk terus membela nasib rakyat di kawasan ini,” katanya dalam hantaran menerusi media sosialnya.

Ujar beliau, Syed Hussien adalah wajah terbaik yang akan membawa kesinambungan usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan selepas ini.

“Turun mengundi, pilih calon nombor satu, pilih Barisan Nasional, demi kesejahteraan Mahkota!”

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit