UMNO Sinonim Santuni Rakyat Hingga Ke Akar Umbi, Kukuhkan Silaturahim

KLUANG, 26 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menyantuni rakyat hingga ke akar umbi sudah sinonim dengan dengan gerak kerja dan khidmat bakti UMNO.

Mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu berharap jentera terus mengadakan ziarah rumah ke rumah agar silaturahim yang terjalin semakin kukuh.

“Ini adalah kaedah kita dari dulu sehingga kini dan ia sampai ke akar umbi. Ini penting, gerakan pilihan raya perlu sampai ke akar umbi, bukan berada di pinggiran gelanggang.

“Kita masuk dalam gelanggang dan berada bersama dengan rakyat yang perlu kita lawati dan ziarahi. Teruskan konsep ziarah-menziarah, menghubung silaturahim dan mudah-mudahan hubungan yang kukuh antara kita dan pengundi ini akan membuahkan hasil yang baik.

“Bukan hanya menghubungkan silaturahim sesama Islam, tetapi juga dapat mengakrabkan lagi konsep Malaysia Madani yang kita menyantuni masyarakat tidak mengira kaum Melayu, Cina dan India,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu kepada UMNO Online.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 14 Sept, pengundian awal 24 Sept manakala hari pengundian pada Sabtu ini.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon.

Bagi PRK DUN Mahkota ini, seramai 66,318 pemilih berdaftar di mana lebih kurang 54 peratus pengundi Melayu, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.

Seterusnya Ahmad yang juga Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota BN mengucapkan penghargaan kepada semua jentera yang bertungkus-lumus bagi memastikan kerusi DUN Mahkota kekal menjadi milik BN.

“Terima kasih kepada semua jentera tempatan. Terima kasih kepada semua 25 bahagian angkat dari Johor. Terima kasih jentera angkat daripada negeri Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Wilayah Persekutuan yang membantu negeri Johor di Mahkota.

“Kami amat menghargai segala bantuan jentera daripada luar kawasan Kluang dan Mahkota ini. Moga hubungan akrab dengan penduduk setempat, akrab antara bahagian-bahagian, akrab antara negeri-negeri ini menjadi saudara besar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Barisan Nasional dalam kerangka Kerajaan Perpaduan. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit