Syed Hussien Penuhi Calon Keperluan Rakyat, Kekalkan BN Di Mahkota – Mohd Rafi

KLUANG, 26 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa Syed Hussien Syed Abdullah yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, masyarakat tempatan perlukan seorang wakil rakyat yang dapat memperjuangkan keperluan mereka dan meneruskan kesinambungan perancangan pembangunan yang telah dilaksana pemimpin terdahulu.

“Kita perlu pastikan seluruh jentera dapat mengeluarkan pengundi dari semua peringkat. Jika pilih selari dengan kerajaan maka sudah pasti suara yang dibawa oleh wakil rakyat ini akan didengar oleh kepimpinan negeri hinggalah pusat.

“Syed Hussien ini adalah calon BN yang selari dengan Kerajaan Negeri Johor dan juga Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat. Ini adalah calon yang lahir dari kilang Pemuda dan ada hubungan rapat dengan Menteri Besar Johor, ‘satu parti satu rumah’, jadi apa-apa mudah untuk bekerja.

“BN ini tak pernah ketandusan calon untuk menjadi wakil rakyat dan bukannya seperti parti lawan yang ambil dari parti lain jadi ahli untuk jadi calon bagi mewakili mereka sebagaimana di PRK DUN Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan malam tadi melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.

Dalam masa yang sama, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menolak dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan sedangkan realitinya anggota jentera dalam komponen Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) rancak bekerja bersama-sama.

Ujarnya dalam kempen yang sedang berlangsung di sini, sokongan keseluruhan jentera adalah untuk memenangkan Syed Hussien.

“Komponen BN juga membantu dengan MCA mendekati golongan Cina dan MIC dengan kaum India. Jentera PH juga turun berkempen di sini termasuk Dap untuk pastikan masyarakat di sini akan mengundi kita.

“Dulu memang kita bermusuh tapi sekarang ini kerjasama gabungan terbentuk dan kita sama-sama dalam kempen di sini. Semua pihak komited untuk memenangkan calon BN

“Saya tak nampak langsung ada ‘clash’ atau isu yang sengaja ditimbulkan kononnya ada perpecahan kerana benda itu langsung tak ada dan kini semua jentera dalam Kerajaan Perpaduan ‘all out’,” katanya.

Terangnya, dengan gerakan semua jentera maka keupayaan dipastikan bagi mengeluarkan pengundi seramai yang boleh.

“Inilah yang kita mahu iaitu semua kaum bersatu hati, bersatu padu untuk memastikan calon Kerajaan Perpaduan menang.

“Calon inilah yang akan membawa suara rakyat di sidang DUN nanti. Kemahuan rakyat akan disuarakan oleh wakilnya di sini, jadi pengundi jangan lepaskan peluang.

“Walaupun benar bahawa apa-apa keputusan di PRK ini tak ubah kerajaan negeri tapi boleh bawa suara rakyat di Mahkota ke sidang DUN hinggalah ke pusat,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit