‘Syed Hussien Bantu Orang Buta, Bukan Pukul Orang’ – Ahmad Zahid

KLUANG, 26 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah terlibat dengan kegiatan jenayah.

Beliau berkata semakan telah dilakukan dan ternyata tiada rekod pukul orang seperti didakwa pembangkang.

“Saya telah semak dia tidak ada rekod, tidak juga dibawa ke mahkamah.

“Ikut laporan yang saya baca ketika beliau dalam 20-an, beliau cuba membela orang buta yang diganggu dan dipukul oleh satu kumpulan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menyifatkan pembangkang sebagai ketandusan isu sehingga mencipta perkara tidak benar berkenaan peribadi calon BN, Syed Hussien.

“Pembangkang telah ketandusan isu, maka mereka mencari isu peribadi untuk menghilangkan keyakinan.

“Mungkin kerana tidak ada sambutan untuk calon mereka maka mereka cuba untuk mengganggu calon kita,” ujar beliau.

Respon tersebut dilakukan Ahmad Zahid selepas Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard pada sesi ceramahnya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota mengatakan Syed Hussien mempunyai rekod jenayah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit