PRK: Syed Hussien Punya Sisi Berbeza, Dekati Rakyat Pelbagai Kaum – Azhar

KLUANG, 25 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai kelebihan tersendiri untuk dipilih rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Beliau berkata sebagai pemimpin muda di Kluang, Syed Hussien mempunyai kemahiran dalam bahasa Mandarin sekaligus mempamerkan sisi berbezanya untuk mendekati rakyat yang terdiri daripada kepelbagaian kaum.

“Calon BN ini ada banyak kelebihan antaranya sebagai seorang Melayu, selain daripada berbahasa Melayu, beliau juga fasih Mandarin. Itu satu kelebihan yang ada kepada beliau.

“Syed Hussien ini masih seorang muda juga sebagai ketua pemuda bahagian. Saya rasa tentulah tenaganya lebih kuat,” katanya.

Azhar berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di pusat daerah mengundi (PDM) Sri Tengah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara dalam pada itu berkata pemilihan Syed Hussien juga memperlihatkan komitmen parti untuk meletakkan orang muda membarisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“BN mempertaruhkan seorang anak muda sesuai untuk bersama Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga orang muda.

“Maksudnya sama ada muda itu di segi umur, akal fikiran bijaksana itu mesti ada bersama dengan pemuda itu untuk membawa DUN Mahkota ini ke satu tahap yang lebih harmoni serta pembangunan yang berterusan,” ujar beliau.

Azhar dalam pada itu turut menyifatkan Syed Hussien memiliki keperibadian yang terpuji kerana sentiasa mempamerkan adab dan ketertiban.

Sementara itu, beliau turut sama menyifatkan PRK DUN Mahkota sebagai cerminan kepada kepelbagaian kaum di kawasan ini, serta kerjasama yang dilakukan antara parti-parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sangat baik, ramah, merendah diri dan nampak bertenaga jadi sesuai sangatlah di DUN Mahkota ini kerana kita melihat kalau melihat komposisi kaum seperti mana dalam Kerajaan Perpaduan.

“Maknanya kemenangan di DUN Mahkota ini sampelnya adalah kepada Kerajaan Perpaduan sama ada orang Melayu, Cina dan India,” ujar beliau.

Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian menjadi taruhan BN pada PRK DUN Mahkota.

Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Syed Hussien pada PRK ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit