Menghadapi Monsun: Kerajaan Perkenal Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Kerajaan memperkenalkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 untuk menghadapi fasa peralihan monsun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, dasar tersebut adalah salah satu daripada usaha kerajaan untuk memastikan negara lebih bersedia menghadapi bencana.

“Saya telah dimaklumkan mengenai permulaan fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga awal November 2024. Disinilah pentingnya satu pembangunan dasar pengurusan risiko bencana negara yang sedang digubal oleh NADMA di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Dasar ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memastikan negara kita lebih bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi bencana, terutamanya dalam konteks perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

“Dasar ini bertujuan mengurangkan risiko bencana dengan mengarusperdanakan konsep Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction – DRR) dalam setiap sektor pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yakin bahawa kejayaan dasar tersebut memerlukan usaha berterusan semua pihak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih selamat pada masa hadapan.

“DRR bukan sahaja melibatkan penyediaan infrastruktur, tetapi juga peningkatan kesedaran, pencegahan dan kerjasama antara Kerajaan, NGO, sektor swasta serta masyarakat.

“Saya percaya, kejayaan dasar ini memerlukan usaha berterusan dari semua pihak. Dengan komitmen bersama, kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat dan bersedia dalam menghadapi cabaran bencana di masa hadapan, Insya-Allah.

“Pada 3 Oktober ini, saya akan hadir ke Kota Tinggi untuk melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan persediaan rakyat dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir serta ribut petir yang semakin kerap berlaku,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.