Che’gu Bard Fitnah Syed Hussien, BN Buat Laporan Polis

KLUANG, 26 Sept – Azizul Ali selaku wakil Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah telah membuat laporan polis berikutan ceramah yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard.

Katanya, Che’gu Bard telah membuat fitnah apabila mengatakan yang calon BN ada rekod jenayah.

“Jadi dalam laporan ini, saya nyatakan iaitu pada 26 September 2024 di Bandar Kluang, saya telah terlihat satu rakaman aplikasi TikTok yang mempunyai individu yang dikenali sebagai Che’gu Bard memberikan ceramah awam terbuka dalam kempen PRK DUN Mahkota bersama dengan barisan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional di belakangnya.

“Dalam ceramah tersebut Che’gu Bard telah menerbitkan peryataan palsu mengenai watak kelakuan peribadi Syed Hussien Syed Abdullah, calon nombor satu dalam PRK DUN Mahkota. Dalam ucapannya yang merujuk kepada calon ini beliau mengeluarkan kenyataan bahawa lawannya yakni BN telah meletakkan calon yang ada rekod jenayah.

“Saya telah bertanya kepada calon ini secara spontan yang menegaskan kepada saya bahawa beliau tiada rekod jenayah. Oleh itu, dakwaan Che’gu Bard kononnya calon ini adalah calon yang ada rekod jenayah merupakan satu pernyataan palsu berhubung watak dan kelakuan peribadi calon,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis di IPD Kluang, petang tadi.

Ujarnya, ini adalah kenyataan yang dikeluarkan semasa tempoh berkempen PRK DUN Mahkota yang bersalahan dengan Seksyen 11 (1) (D) atas kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman penjara tidak berlebih satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000.

“Tujuan saya membuat laporan ini adalah kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) (D) atas kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengkategorikannya sebagai perbuatan rasuah semasa tempoh berkempen dalam konteks undang-undang pilihan raya dan ia juga merupakan satu ‘criminal defamation’ daripada calon ini, yang merupakan kesalahan yang perlu diambil tindakan Seksyen 499 kanun kesiksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan Syed Hussien tidak mempunyai sebarang rekod sabitan jenayah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit