Ahmad Zahid Seru Pengundi Yang Tinggal Di Luar DUN Mahkota Pulang Mengundi

KLUANG, 26 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang tinggal di luar dari kawasan ini untuk balik pada hari pengundian dan menjalankan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, beliau mendapat maklum balas bahawa terdapat di kalangan para pengundi di DUN Mahkota ini yang tinggal di luar daripada kawasan pilihan raya.

“Terdapat juga yang tinggal di luar daerah Kluang, tidak kurang juga yang tinggal di Johor Bahru dan bekerja di sana dan ramai juga yang bekerja di Singapura.

“Untuk itu jentera BN telah menjalankan beberapa usaha terutamanya oleh Menteri Besar (MB) Johor bersama-sama dengan jentera-jentera daripada BN dan juga parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menentukan dan memujuk supaya mereka yang berada di luar DUN Mahkota ini agar kembali mengundi pada hari Sabtu ini dan membantu serta menyokong calon BN.

“Biarpun kita tinggal dua hari lagi tetapi usaha-usaha ini telah dijalankan sejak sebelum hari penamaan calon lagi, dan kempen-kempen kesedaran melalui media sosial telah dilakukan kerana kami mempunyai data-data untuk mendekati 66,000 pengundi-pengundi yang berada di DUN Mahkota ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, di sini.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid yakin bahawa pengundi-pengundi luar ini akan pulang bagi mengundi pada Sabtu ini.

“Walaupun mungkin tidak 100 peratus akan balik tetapi majoriti atau sebahagian besar daripada mereka mempunyai kesedaran dan tanggungjawab sebagai pengundi dan warga bangsa Johor untuk kembali pada hari Sabtu ini,” katanya.

Jelasnya dalam keadaan itu beberapa pendekatan telah dilakukan bagi memastikan pengundi yang tinggal diluar pulang menjalankan tanggungjawabnya.

“Pendekatan konvensional dan non-konvensional juga dilakukan oleh jentera kita bagi menentukan supaya dimudahkan kembalinya mereka ke Makota sebagaimana yang telah disebutkan oleh MB bahawa CIQ di Tambak Johor akan dibuka sepenuhnya di kaunter-kaunter berkenaan bagi memudahkan pengundi-pengundi yang tinggal di Singapura untuk kembali berjuang dan terusnya mengundi di peti-peti undi di DUN Makota ini,” katanya lagi.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil kerajaan Perpaduan pada PRK itu, manakala Perikatan Nasional (PN) memilih Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka 20 pusat mengundi dengan 109 saluran pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit