Teruskan Tekad Sebulat Hati Untuk Menang, Jangan Ada Perpecahan – Tengku Razaleigh

KLUANG, 25 Sept – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan anggota jentera yang bekerja dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota terus bersatu hati dalam menghadapi pihak lawan dan seterusnya meraih kemenangan pada hari pengundian kelak.

Ujarnya, apabila jentera parti sebulat hati maka akan ada keberanian untuk menghadapi pelbagai cabaran.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang menjadikan PRK DUN Nenggiri yang berlangsung bulan lalu sebagai contoh iaitu bagaimana BN mampu meraih kemenangan biarpun menghadapi tentangan dan berdepan pihak lawan yang yakin bahawa mereka akan menang.

“Pada awalnya, ramai yang kata kalau menang pun, menang tipis, tak ada siapa pun yang ‘confident’ dan kata kita akan kalah.

“Sebenarnya, tiada satu formula yang digunakan untuk memenangi pilihan raya, bukan sahaja di Nenggiri, di mana-mana pun… kerana kalau jentera kita bersatu dan tidak ada salah faham sedikit pun di semua peringkat maka kita akan ada kekuatan untuk menghadapi lawan kita.

“Kalau kita ini sebulat hati, mahu kepada keberanian dan kita sisihkan segala perkara yang tiada kepentingan, maka saya rasa kita boleh menang dengan mudah,” katanya.

Terdahulu, pada 17 Ogos lalu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya merampas DUN Nenggiri dengan mengalahkan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 3,352 undi.

Tegas Tengku Razaleigh, anggota jentera adalah kekuatan parti dan sekiranya bertindak sebagai satu kumpulan maka tidak ada alasan untuk menang.

“Kalau mereka bertindak sebagai satu kumpulan tanpa pandang kiri kanan tapi dengan tujuan nak menang maka kita akan menang, insya-Allah. Tak kira apa pun yang dibawa pihak lawan untuk burukkan kita, kita akan dapat hadapi.”

Ujar beliau, masalah utama dikalangan rakyat hari ini ialah masyarakat yang berpecah.

“Di kalangan orang Melayu ada sampai empat lima perpecahan, perpecahan juga berlaku di kalangan masyarakat yang lain… masing-masing mempunyai pendirian atau sikap yang berbeza antara satu dengan lain.

“Kalau kita tak ambil kesempatan atas perpecahan orang lain tetapi asyik mementingkan perpecahan sendiri saja maka itu akan menyebabkan kita menjadi lemah. Tapi kalau kita kuat berpadu, insya-Allah kita boleh lawan sesiapa juga yang akan datang memusuhi kita.”

Menyentuh berkaitan DUN Mahkota, Tengku Razaleigh menegaskan tidak ada sebab untuk BN tewas kerana telah menawarkan calon yang baik dan mampu menggalas tugas sebagai wakil rakyat.

“Saya rasa tidak ada sebab mengapa calon kita nak tewas. Kita letak orang muda yang mempunyai harapan pada masa akan datang, dan kita dalam UMNO selalu bergantung kepada tenaga muda… daripada sebelum merdeka, merdeka dan selepas merdeka, tenaga mudalah yang membantu kita.

“Saya percaya pimpinan di Johor bersama bersama dengan masyarakat setempat akan memikirkan masa depan UMNO dan juga kawasan ini sendiri. Jadi dengan meletakkan calon seperti Syed Hussein, insya-Allah kita akan beroleh kemenangan,” katanya lagi dalam wawancara eksklusif bersama UMNO Online, di sini.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit