Puteri UMNO Anjur Santai Boling Anak Muda, Santuni Pengundi Pertama Kali

KLUANG, 25 Sept – Pergerakan Puteri UMNO menganjurkan Santai Boling Anak Muda Mahkota bagi menyantuni golongan muda termasuk pengundi pertama kali.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata ia sebagai pendekatan untuk beramah mesra bersama kelompok tersebut termasuk memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN), bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Beriadah dengan pengundi pertama kali terdiri daripada lelaki dan wanita muda dan memang di bawah Puteri UMNO Malaysia, kita letakkan satu biro untuk menjaga kelompok ini.

“Alhamdulillah sambutan yang memberangsangkan dan kebanyakan mereka ini adalah pertama kali mengundi melalui ini kita berbual, bersantai dengan mereka.

“Ada juga soalan-soalan yang ditanyakan, tapi bagi saya ini adalah kebiasaan apabila bercampur dengan millennial dan gen z ini, tak boleh merasakan kita memberi arahan ataupun dan sebagainya. Dia suka lebih kepada komunikasi dua hala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di Kluang Mall.

Turut hadir calon BN, Syed Hussien.

Nurul Amal dalam pada itu berkata gerak kerja bersepadu dilakukan oleh jentera UMNO/BN pada PRK ini penting bagi mengekalkan kemenangan UMNO/BN, apatahlagi kerusi ini merupakan kubu kuat parti.

“Semestinya kami jentera doa dan mengharapkan yang terbaik untuk calon BN di DUN Mahkota ini bukan kemenangan orang Kluang atau Syed Hussien tetapi untuk BN,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nurul Amal menyifatkan kehadiran Syed Hussien pada program boling tersebut mendapat respon positif daripada anak muda yang hadir.

Katanya, peluang tersebut dimanfaatkan mereka untuk bertanya aspirasi yang dibawa Syed Hussien pada PRK ini khususnya melibatkan golongan muda.

“Boleh dikatakan amat memberansangkan dan calon sendiri teruja sebab mereka dapat bertanya apa saja yang terbeku di hati dengan Syed Hussien sendiri respon yang sangat baik dan positif.

“Kerana kita tahu calon ini adalah daripada orang muda mungkin dari segi faktor dia nak bergaul itu tidak ada masalah. Cuma mungkin dari segi nak mengenali antara satu sama lain itu mengambil masa sedikit.

“Insya-Allah kalau menang ini antara masa depan untuk orang Mahkota. Ini adalah generasi-generasi yang akan mewarisi Kluang dan Mahkota,” katanya lagi.

Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang dan Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian menjadi taruhan BN pada PRK DUN Mahkota.

Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Pada PRK Syed Hussien akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit