Menangkan Calon BN, Buktikan Parti Semakin Teguh Untuk Dibawa Ke PRN Sabah – Noraini Idris

KLUANG, 25 Sept – Ketua Wanita UMNO Negeri Sabah, Datuk Noraini Idris menyeru jentera Barisan Nasional (BN)/UMNO terus bekerja bagi memastikan pengundi memilih calon BN sebagai bukti bahawa parti ini semakin teguh dan kembali menjadi pilihan.

Ujarnya yang turut sama membantu sebagai jentera dalam kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kemenangan BN di sini amat penting bukan hanya untuk mengulangi kemenangan Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain tetapi juga sebagai momentum kemenangan PRK Nenggiri.

“Kemenangan ini sangat penting kerana akan menyemarakkan semangat kepada semua ahli-ahli UMNO bahawa parti ini makin teguh, makin kuat dan berakar kembali serta mendapat sokongan semula oleh rakyat khususnya orang-orang Melayu.

“Sebab itu penting untuk kita menang dan kita juga berharap agar kemenangan di PRK DUN Mahkota ini juga akan dipanjangkan ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, walaupun di atas kertas kemenangan dianggap berpihak kepada BN namun hal ini tidak boleh diambil mudah.

“Kita tak boleh ambil remeh sebab walaupun atas kertas itu kemenangan insya-Allah akan menjadi milik BN tetapi kita tidak boleh rasa berpuas hati sebab selagi kita belum berada di peringkat yang akhir, kita tidak boleh berhenti usaha untuk memastikan kejayaan kepada kita.

“Untuk rakan-rakan semua, kita menghargai atas segala sokongan usaha dan kerjasama dukungan moral yang diberikan oleh rakan-rakan kita, ada yang datang daripada dekat dan daripada jauh seperti kami datang daripada Sabah.

“Sebab kami inginkan parti ini terus konsisten dalam kemenangan, BN dari PRK Nenggiri, PRK Mahkota, kemudian kita ke PRN Sabah… dan seterusnya menghadap PRU nanti.”

Katanya, UMNO ini adalah ibarat satu keluarga besar yang sentiasa ada dan saling bantu-membantu.

“Kita adalah keluarga besar dan kita sentiasa saling bantu-membantu, bekejasama dengan semua ahli sebab kita adalah keluarga yang memang perlu memastikan bahawa ahli keluarga kita sentiasa bersatu yang akhirnya kemenangan sesama dicapai,” katanya lagi.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit