50 Tahun Malaysia-China… Hubungan Sedia Ada Terus Diperkukuh
KUNMING, 25 Sept – Exco Wanita UMNO, Musliati Moslimin melihat kunjungan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China yang bermula 21 September lalu merupakan satu langkah yang tepat dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara tersebut.
Menurut beliau hubungan yang telah dirintis oleh Perdana Menteri sebelum ini, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan pelbagai manfaat diperoleh Malaysia dan China.
“Alhamdulillah… program ini cukup menarik kerana ianya bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan China, malah memberikan pelbagai perkara baharu yang kita boleh lihat secara lebih dekat.
“Dan lebih manis lagi kali ini sempena 50 tahun hubungan diplomatik, delegasi BN ke China yang terdiri daripada wakil Wanita, Pemuda, Puteri UMNO serta parti komponen dan rakan BN mengeratkan lagi hubungan yang telah terjalin sekian lama,” katanya kepada UMNO-Online.
Kata beliau lagi banyak perkara yang dikongsi rakan Parti Komunis China (CPC) sepanjang lawatan ke China dan segalanya berjalan lancar.
“Kami dibawa ke pelbagai tempat dan kita boleh melihat dengan lebih dekat perkembangan teknologi dan sebagainya lagi yang ada di sini cukup hebat. Begitu juga dalam aspek lain khususnya berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kita perlu perkasakan.
“Di sini TVET mereka cukup jauh ke depan, sebab itu pada saya usaha memperkasakan TVET di negara kita adalah satu perkara yang cukup positif dalam usaha memajukan bidang teknologi di Malaysia untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, Barisan Nasional (BN) berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC)
Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online