Program Jangka Pendek Universiti Tsinghua Menarik, Tawaran Boleh Diperhalusi – Syauqi

BEIJING, 24 Sept – Exco Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibni Hajar Ahmad melihat kunjungan delegasi Barisan Nasional (BN) Ke China sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara memberi banyak manfaat untuk dikongsi bersama.

Bagi beliau pertemuan serta kunjungan delegasi tersebut ke Universiti Tingshua sebagai contoh bukan sahaja membuka ruang berkongsi pandangan malah terdapat beberapa perkara yang ditawarkan oleh univesiti berkenaan cukup menarik.

“Kita boleh manfaatkan program yang ditawarkan oleh universiti berkenaan antara lain program jangka pendek yang saya rasa kita boleh laksanakan dengan belia atau pemuda-pemuda di negara kita dalam bidang ‘public management’ dengan ‘digital leadership’.

“Ini antara yang saya nampaklah… saya harap kalau program-program seumpama itu dibawa ke Malaysia, kita usulkan biasiswa untuk pelajar dan program jangka pendek ini mungkin dalam tempoh sebulan atau selebihnya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Syauqi seterusnya melihat pertemuan bersama Parti Komunis China (CPC) juga memberikan pelbagai input yang menarik, antara lain soal yang membabitkan perkaderan ahli parti.

“Saya ada tanya berkaitan modul-modul yang diberikan kepada ahli yang mungkin kita boleh praktikkan dan apa pun kita penuh yakin hubungan dua hala antara Malaysia dan China mampu diperkukuhkan sebaiknya,” ujarnya.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, BN berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya CPC.

Delegasi BN diketuai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.