PRK Mahkota: Tengku Zafrul Optimis BN Mampu Raih Undi Awal

KLUANG, 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz optimis Barisan Nasional (BN) mampu meraih undi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, ini berdasarkan BN menawarkan calon yang berkebolehan dan mempunyai pengalaman berkhidmat di kawasan itu.

“Kalau lihat pada kualiti calon kita daripada segi ciri-ciri seorang calon yang boleh menang, kita yakin dan optimistik… insya-Allah beliau akan dapat meraih undi daripada pengundi-pengundi awal,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan mesra kepada peniaga-peniaga sekitar kawasan perniagaan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Dua di sini, Isnin petang.

Hadir sama Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Rizam Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Keadaan cuaca hujan renyai juga tidak mematahkan semangat Tengku Zafrul bersama jentera parti untuk meneruskan kempen ke pasar malam berdekatan sempena PRK DUN Mahkota.

Manakala pada sebelah malam, Tengku Zafrul turut hadir ke program taqarub dan sesi santai bersama mahasiswa.

Proses pengundian awal PRK DUN Mahkota hari ini membabitkan 4,510 tentera dan pasangan serta 401 polis, akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim di sini menjadi pusat undi awal.

BN menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calonnya, yang juga merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian selain aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada hari ini manakala hari pengundian pada 28 Sept.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul juga mengulas perdagangan negara terus meningkat disebabkan sumbangan besar eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E). – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit