PRK Mahkota: Pusat Mengundi Awal Dibuka

KLUANG, 24 Sept – Tiga pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Tiga pusat pengundian itu ialah Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini.

Proses pengundian awal yang membabitkan 4,510 tentera dan pasangan serta 401 polis akan berlangsung sehingga 5 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang adalah baik pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka berlaku di sebelah petang.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
Dun Mahkota memiliki 66,318 pengundi berdaftar dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.