PRK Mahkota: Bersaing Secara Sihat, Rakyat Hanya Mahu Khidmat Terbaik – Ab Rauf

KLUANG, 24 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan kempen secara sihat memainkan peranan penting untuk rakyat menilai kematangan parti politik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Menurut beliau ini kerana ia menunjukkan komitmen parti-parti yang bertanding sama ada mahu membela nasih rakyat atau semata bermain politik tikam belakang.

“Biasa dalam permainan politik mereka akan menggunakan pelbagai sumber untuk melemahkan mana-mana parti yang bersaing.

“… tetapi bersainglah cara berhemah, betulnya dan fakta tepat ialah orang yang sentiasa akan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Mereka menggunakan kaedah tikam belakang ini tidak akan memberikan pulangan yang terbaik kepada masyarakat dalam DUN Mahkota dan bahagian Keluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di pusat daerah mengundi (PDM) Taman Kerjasama, semalam.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka dalam pada itu turut sama meluahkan harapan untuk kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) apabila melihat sambutan menggalakkan daripada pengundi yang ditemui.

Katanya ia kesan daripada gerak kerja terbaik dilakukan oleh UMNO Kluang, bahagian dan negeri angkat.

“Saya melihat bahawa kempen di kawasan DUN Mahkota ini begitu rancak sekarang. Nampaknya daripada sudut sambutan pada para pengundi dan penduduk di kawasan DUN Mahkota ini memberikan sokongan yang amat baik pada calon BN Syed Hussien Syed Abdullah ini.

“Malah saya yakin jentera yang diturunkan oleh bahagian dan negeri untuk membantu jentera tempatan ini memberi kesan yang amat positif.

“Jadi saya menyeru kepada semua jentera-jentera parti yang ada di DUN Mahkota ini teruskan bekerja sehingga hari terakhir dan memastikan bahawa semua pengundi dapat memberi sokongan kepada calon BN,” ujar beliau.

Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian menjadi taruhan BN pada PRK DUN Mahkota.

Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Syed Hussien berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.