PN Tolak MoU… ‘Jangan Salahkan, Tempelak Kerajaan Perpaduan Pula’ – Mohd Imran
KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin mengingatkan pihak pembangkang untuk tidak menyalahkan dan menemplak pihak kerajaan apabila mereka telah menolak tawaran yang diberikan.
Ini kerana katanya, Perikatan Nasional (PN) telah bertindak untuk menolak perjanjian persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan mengenai tawaran peruntukan kepada pihak pembangkang.
“Saya ingat polemik ataupun isu berkaitan dengan MoU peruntukan ini telah pun dibincangkan secara meluas dan terbuka sejak dua atau tiga hari lalu selepas pihak pembangkang (PN) tidak bersetuju serta menolak MoU pemberian peruntukan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang.
“Kita sedia maklum, kerajaan menawarkan kepada pihak pembangkang untuk menyediakan peruntukan pembangunan ataupun peruntukan kawasan kepada ahli-ahli parlimen bukan kerajaan. Namun ada beberapa perkara dan syarat telah pun ditetapkan untuk mereka teliti serta terima.
“Kita dapat juga lihat ada beberapa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PN yang membangkitkan isu berkaitan dengan tawaran MoU tersebut. Antaranya adalah Datuk Seri Takiyuddin, Datuk Seri Azmin Ali dan juga beberapa pemimpin lain,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, bukan menjadi satu kewajipan kerajaan untuk menyediakan peruntukan kepada pihak pembangkang dan tindakan Kerajaan Perpaduan berbuat demikian bersifat keterhadapan.
“Secara praktikalnya pada pandangan saya ini bukan tanggungjawab kerajaan sebenarnya untuk menyediakan peruntukan kawasan kepada ahli-ahli parlimen bukan kerajaan. Tidak ada satu undang-undang khusus berkaitan dengan peruntukan pembangunan kepada ahli parlimen bukan kerajaan.
“Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadilah adalah satu tindakan yang kehadapan sebenarnya iaitu menawarkan sesuatu yang mungkin tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam keadaan politik dan juga kedudukan semasa.
“Keadaan ini berbeza kalau kita nak bandingkan pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Pada ketika itu kerajaan dalam keadaan yang begitu tidak stabil. Tetapi sekarang Kerajaan Perpaduan dibentuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ini dalam keadaan yang stabil dan cukup selesa daripada digugat,” katanya lagi.
Tegasnya, PN dilihat seperti mengambil kesempatan dan menggunakan MoU tersebut untuk membina naratif negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Ada yang cakap ianya Confidence Supply Agreement (CSA) seolah-olah diberi gambaran apabila mereka sign sahaja MoU ini, tidak boleh bertindak secara bebas sebagai ahli parlimen. Mereka perlu melihat secara menyeluruh dan Datuk Seri Fadilah pun telah mendedahkannya beberapa hari lalu.
“Berbeza dengan apa ditunjukkan sebahagian sahaja oleh pihak PN yang memberikan naratif tidak betul dan menyeluruh. Kalau mereka nak tolak, itu hak mereka. Kalau mereka terima pun, itu juga adalah hak mereka. Tapi apabila mereka dah buat keputusan tolak, jangan menyalahkan ataupun menemplak pihak yang menawarkan pula.
“Kalau ada pandangan, penambahbaikan ataupun cadangan lain, kerajaan memang sentiasa terbuka untuk berbincang. Tak perlulah menemplak dan memberikan naratif-naratif sentimen. Sebagai contoh, kandungan tersebut akan menjejaskan, mengugat keadilan sosial, nilai, budaya dan sebagainya. Saya ingat itu adalah satu yang keterlaluan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan sesuatu yang baik dan ia sepatutnya diterima oleh pihak pembangkang kerana isu peruntukan ini sering dijadikan isu.
“Dalam semangat Malaysia Madani, terdapat enam domain dan salah satunya adalah ‘Ihsan’. Dalam nak melakukan kebaikan dan juga keadilan, kebersamaan itu mungkin dalam sudut tersebut. Ini kerana tidak ada ‘framework’ spesifik berkenaan dengan penyaluran yang mengikat pemberian peruntukan kawasan.
”Sehinggalah kalau satu hari nanti semua pihak di peringkat penggubal dasar dan buat satu keputusan, adakan satu akta peruntukan kawasan ataupun ‘Constituency Development Fund Act’, mungkin daripada situ boleh ‘progres’ dengan lebih baik.
“Pada pandangan saya, kerajaan telah membuat tawaran yang terkehadapan kepada pihak pembangkang. Sepatutnya diterima dengan baik dan kalau ada perkara-perkara yang mungkin boleh dibincangkan, mereka bincang. Tak perlu mengambil kredit politik. Saya rasa pembangkang yang ada pada hari ini tidak bertanggungjawab dan bersyukur dengan tawaran yang dibuat oleh kerajaan,”katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman