Personaliti Berhemah Syed Hussien Mampu Tambat Hati Orang Mahkota – Sh Mohmed Puzi
KLUANG, 24 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai personaliti tersendiri dalam menambat hati rakyat, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, kata Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Beliau berkata ini termasuk keperibadian berhemahnya ketika menyantuni rakyat, yang menurutnya salah satu sikap yang perlu ada sebagai wakil rakyat.
“Saya melihat banyak kelebihan calon BN ini antaranya adalah segi personalitinya, kemampuan dan hemah dengan rakyat.
“Dengan keadaan ini saya rasa beliau adalah seorang yang mudah didekati dan yang pentingnya beliau seorang pendengar yang baik.
“Saya nampak beliau ini mempunyai satu budaya sebagai anak muda iaitu menghormati orang yang lebih tua daripadanya.
“Ini merupakan satu petanda yang baik. Terutama sekali adalah untuk pengundi-pengundi golongan yang lebih tua daripada beliau dapat, yang mana beliau dapat menawan hati mereka ini,” katanya.
Sh Mohmed Puzi berkata demikian ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini pada sesi taqarub yang diadakan di pusat daerah mengundi (PDM) Dorset.
Dalam pada itu beliau berkata Syed Hussien yang mahir bertutur dalam Mandarin memperlihatkan keterbukaannya bersama dengan kepelbagaian bangsa.
Menurut beliau ia sekaligus menunjukkan komitmen beliau dalam membawa suara warga Mahkota tanpa mengira latar belakang.
“Beliau ini fasih berbahasa Cina dan ini merupakan satu aset juga kerana ia dapat mencapaikan mesej perjuangan dan juga keedah yang bakal dilaksanakan nanti untuk menangani masalah rakyat dan membela rakyat.
“Ada kepedulian daripada orang Cina dan perasaan simpati jugalah kepada calon ini yang membolehkan insya Allah beliau akan meraih undi yang lebih besar insya Allah pada pilihan raya kali ini,” ujar beliau.
Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussein, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online