Maju Johor: Inisiatif Rumah Transit Bangsa Johor Berkonsepkan Sewa-Simpan – Mohd Jafni

KLUANG, 24 Sept – Kerajaan Negeri Johor memperkenalkan satu lagi produk pemilikan rumah kepada rakyatnya iaitu Rumah Transit Bangsa Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Menurut Mohd Jafni, kaedah berkonsepkan sewa-simpan ini antara inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri Johor di bawah Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membantu golongan sasar.

“Rumah Transit Bangsa Johor ini adalah rumah yang kita beri peluang kepada anak-anak muda yang baharu berkahwin, baru bekerja, anak seorang, gaji rendah tetapi tidak lepas buat pinjaman bank.

“Kerajaan negeri tawarkan kepada individu tersebut dengan harga sewaan 30 peratus lebih rendah dari kadar semasa. Dalam masa sama daripada jumlah yang dibayar (contoh) RM650 sebulan, kerajaan beri diskaun 30 peratus.

“Daripada bayaran sewa setiap bulan RM650, anggaran dalam RM195 kerajaan simpan. Selepas lima tahun jumlah yang akan terkumpul dipulangkan balik kepada penyewa dan kita tawarkan Rumah Mampu Milik Johor,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu kepada UMNO Online.

Mohd Jafni ditemui baru-baru ini selepas selesai Majlis Merealisasikan Rumah Mampu Milik Kluang yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kluang Perdana di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dan Onn Hafiz dibawa ke tapak projek Rumah Transit Bangsa Johor yang mempunyai 92 unit bagi daerah Kluang dan turut diberi taklimat ringkas mengenainya.

Selanjutnya tambah Mohd Jafni, bahkan jika dalam masa tiga tahun individu tersebut sudah bersedia untuk memiliki rumah sendiri, kerajaan negeri yang bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan memberi keutamaan kepada individu terbabit dengan skim Rumah Mampu Milik Johor.

Jelas Mohd Jafni lagi, selain di Kluang terdapat empat lagi kawasan projek Rumah Transit Bangsa Johor di negeri itu iaitu di Kulai, Mutiara Rini, Johor Bahru dan Tebrau dan kesemuanya berjumlah 538 unit.

Berhubung dengan Rumah Mampu Milik Johor, Mohd Jafni berkata Kerajaan Negeri Johor menyasarkan sebanyak 30,000 unit rumah dibina di seluruh negeri menjelang tahun 2026.

“Daripada sasaran 30 ribu unit rumah, yang dah siap 12,540 dan serah kunci. Dan yang ini harga rumah lebih kurang RM150 ribu, 171 unit, Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bulan Oktober ini dan serahan kunci pada bulan yang sama.

“Jadi di Kluang ini hampir 5,000 unit akan dibina dalam masa lima tahun daripada 2022 hingga 2026 dan insya-Allah ini adalah projek yang berterusan,” katanya yang turut menunjukkan rumah contoh Rumah Mampu Milik Johor di tapak projek perumahan di Kluang Perdana itu.

Kerajaan Negeri Johor katanya akan berusaha memberi komitmen sebaik mungkin berkenaan pemilikan rumah termasuk produk sedia ada seperti Rumah Kasih yang diberi percuma kepada golongan miskin tegar dan mempunyai kad e-Kasih. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit