Langkah Allahyarham Tun Abdul Razak Rintis Hubungan Malaysia-China Kekal Ke Hari Ini

BEIJING, 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Nor Adam melihat huhungan baik antara Malaysia dan China yang dirintis Perdana Menteri sebelum ini, Allahyarham Tun Abdul Razak kekal hingga ke hari ini.

Malah beliau penuh yakin pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara termasuklah langkah Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid dalam soal TVET bakal memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Jasa Tun Abdul Razak yang telah membuka hubungan dagang antara Malaysia dan China terlalu berharga. Ini kerana dahulu hanya negara-negara blok komunis sahaja yang mahu berdagang dengan China tetapi apabila Allahyarham Tun Razak pada 1974 mengadakan hubungan dengan negara China telah membuka kerjasama perdagangan baharu.

“Ketika itu negara-negara lain tidak menjalinkan hubungan dengan China tetapi kita sudah mula jalin hubungan dan membuka laluan itu yang memberi impak baharu dalam jalinan antarabangsa,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Kata Lokman lagi, sebab itulah pada zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi pemimpin negara pelbagai bantuan oleh negara China kepada Malaysia disalurkan. 

“Umpamanya apabila minyak sawit diboikot, Presiden China pada ketika bertanyakan berapa banyak yang diboikot dan mereka sanggup membeli kesemuanya. Begitu juga soal getah mereka meneruskan pembelian dengan Malaysia.

“Jadi hubungan ini saya nampak baik dan saya harap ianya diteruskan dengan pelbagai sektor dan kepelbagain teknologi lain. Mereka sudah jauh ke depan dan kita apabila ada rakan dagangan sebegini kita harus meningkatkan kerjasama kita.

“Alhamdulillah Datuk Seri Ahmad Zahid, Presiden UMNO antara orang yang begitu memberikan fokus dalam usaha memastikan pendidikan TVET berada di tahap terbaik, malah negara China mengalu-alukan inisiatif yang diambil untuk membawa pulang teknologi kepada pelajar-pelajar kita,” ujarnya.

Ujar Lokman lagi, kerjasama yang lebih erat dengan sahabat-sahabat  di negara China akan memastikan kelak bahawa Malaysia akan jadi negara yang boleh menguasai teknologi sebaiknya.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, BN berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC)

Delegasi BN diketuai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.