Kerjasama Erat Kerajaan Pusat Dan Negeri Johor Menguntungkan Rakyat

KLUANG, 24 Sept – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata jalinan kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor ternyata menguntungkan rakyat.

Kata Shahrizat yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kerajaan pusat dan negeri mempunyai perancangan yang mantap untuk pembangunan dan kemajuan di negeri itu, tidak ketinggalan juga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Alhamdulillah Kerajaan Madani banyak perancangan yang mantap untuk masa hadapan Malaysia dan termasuklah untuk negeri Johor. Kerana kalau kita nak negara kita maju dan negeri maju kita kena ada satu ‘partnership’ yang cantik. Kita mesti kena seiring sejalan.

“Banyak perancangan untuk membangunkan Johor, kita perlu teruskan. Dan ia perlu diteruskan di Mahkota,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Seterusnya ulas Shahrizat yang juga bekas Menteri Kabinet berkata, adalah satu kerugian bagi rakyat di Mahkota jika tidak memilih BN yang seiring dengan kerajaan pusat.

“Jadi kalau di DUN Mahkota ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan seiring dengan kerajaan yang ada pada hari ini sama ada ia di ‘state’ ataupun di ‘federal’, ia satu kerugian untuk semua rakyat dan penduduk yang ada di Mahkota.

“Jadi kalau kita tengok secara rasionalnya eloklah beri peluang kepada calon Barisan Nasional untuk mewakili Kerajaan Madani,” serunya.

Tambahan pula ujarnya, BN menampilkan calon yang muda, segar dan terkenal aktif dalam aktiviti-aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) dengan khidmat bakti.

“Lagipun kalau kita tengok calon yang diketengahkan oleh UMNO dan Barisan Nasional ini adalah satu calon yang amat baik sekali.

“Terutamanya orang muda. Beliau mempunyai pengalaman, anak tempatan dan juga mempunyai rekod yang baik, pengerusi NGO dan lain-lain. Jadi kalau kita tengok secara purata tidak ada sebab yang kita tidak boleh memberi undi kepada beliau,” katanya.

NGO juga katanya, berperanan penting bersama komuniti dalam membawa misi dan visi kerajaan. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit