Insiden Penurunan Bendera Malaysia, Suhaimi Gesa Kerajaan Ambil Tindakan
SANDAKAN, 24 Sept – UMNO Sabah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang menguar-uarkan soal Sabah keluar dari Malaysia yang dianggap berupa hasutan.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, sejak kebelakangan ini ada pihak yang secara terbuka menguar-uarkan provokasi tersebut yang tular di pelbagai media sosial.
Katanya jika perbuatan atau provokasi yang dilakukan oleh kumpulan ini dibiarkan maka ianya akan menjejaskan semangat kerjasama, perpaduan dan keselamatan rakyat.
“Perbuatan kumpulan ini sengaja mahu memporak perandakan negara dan UMNO Sabah meminta pihak berkenaan menyiasat siapa dalang disebalik tindakan yang mereka lakukan ini,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata demikian ketika diminta mengulas provokasi pihak tidak yang bertanggungjawab untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia yang tersebar menerusi laman media sosial baru-baru ini.
“Saya minta pihak polis menyiasat perkara ini, terutama mereka yang menghasut daripada luar kerana isu ini adalah soal yang berbahaya,” katanya.
Menurut Suhaimi jika pun ada masalah dari segi Persekutuan dan juga kerajaan negeri, ianya boleh dibincangkan dan bukannya menguar-uarkan atau memanaskan hati rakyat dan menghasut rakyat untuk berfikiran yang bukan-bukan.
Malah menurut beliau, jika timbul isu dalam perkara M63 baru-baru ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor sebanyak 11 tuntutan MA63 maka ia telah pun diselesaikan dan tujuh daripadanya telah pun dimuktamadkan.
“Kita yakin peringkat demi peringkat isu tuntutan MA63 ini akan diselesaikan dan jika inilah antara sebab mendorong kumpulan ini membangkitkan semula isu Sabah keluar dari Malaysia sudah tentunya ianya tidak relevan,” katanya.
Menurut Suhaimi, Perdana Menteri begitu konsisten dan teliti memastikan semua tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak dipenuhi demi merealisasikan hak yang diperjuangkan,.
Selain itu, Suhaimi berkata, kenaikan kadar pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan juga adalah bukti Perdana Menteri prihatin serta memahami secara mendalam isu berkaitan kenaikan kos di kedua-dua negeri.
Katanya, perkara ini berbangkit kerana ada juga parti-parti dan pemimpin parti tempatan di negeri ini membangkitkan pelbagai sentimen seperti tolak dan halang parti dari Malaya bertanding dalam PRN dan PRU akan datang.
“Ini rumah kita, kita jaga dan tolak mereka yang boleh membangkitkan semangat kebencian dan kemarahaan di kalangan rakyat di negeri ini.”
Sehubungan itu Suhaimi mengajak rakyat Sabah supaya tidak mudah dipengaruhi dengan sentimenn seperti ini.
“Jangan menggadai kemakmuran, kesejahteraan dan kualiti hidup yang dinikmati sejak terbentuknya Malaysia hanya untuk memenuhi agenda politik seseorang individu atau kumpulan yang dilihat lebih mementingkan agenda politik diri daripada kepentingan keseluruhan rakyat Sabah,” tegasnya lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abdul Wahid