Abdul Azeez Seru Orang India Manfaatkan PRK, Sokong Syed Hussien

KLUANG 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyeru masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Menurut beliau, ia penting sebagai jaminan masa hadapan yang lebih baik kepada pembangunan Mahkota dan penduduknya.

“Saya rasa terpanggil untuk datang untuk berkongsi sedikit pengalaman berapa pentingnya pada 28 Oktober ini buat rakyat mahkota, khususnya masyarakat India yang ada lebih 5,100 pengundi di dalam DUN ini.

“Jadi saya dah ada di sini hampir lima hari sudah pergi ke semua pusat daerah mengundi (PDM), kawasan terang, gelap semua saya sudah masuk,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling berkata demikian pada program Santai Bersama Masyarakat India di Pusat Gerakan BN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Taman Sri Kluang baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta calon BN, Syed Hussien.

Katanya lagi, ini kerana Syed Hussien sebagai
tokoh pemimpin muda mempunyai kelebihan tersendiri dalam membawa aspirasinya untuk membela nasib rakyat.

“Alhamdulillah pada kali ini kita ada satu kesempatan yang mana tenaga baru iaitu rang muda yakni di dalam negeri Johor ini. Terutamanya di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Orang muda dan diganding pula dengan seorang lagi orang muda, tenaga baru, segar, iait Syed Hussien yang menjadi calon,” ujar beliau.

Terdahulu PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit