Zambry Ingatkan Peminjam PTPTN Jelaskan Pembayaran Penuh Berhemah

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menjelaskan pinjaman mereka dengan penuh berhemah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, mana-mana calon yang mendapat tawaran ke IPTA tetapi mempunyai masalah kewangan boleh mendaftar dahulu dengan pengecualian membayar yuran.

“Minggu lepas saya sudah maklumkan dengan jelas, mana-mana calon yang mendapat tawaran ke IPTA tetapi menghadapi kekangan dan masalah terutamanya kewangan, terus berhubung dengan universiti berkaitan serta boleh mendaftar dahulu dengan pengecualian daripada membayar yuran.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui PTPTN dan institusi kewangan lain akan membantu selanjutnya. Jangan khuatir dan jangan risau…. yang penting masuk daftar dahulu.

“Antara inisiatif KPT dalam menjaga kebajikan pelajar terkesan adalah dengan memperuntukkan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada setiap yang layak supaya dapat diguna untuk menampung sebahagian kos persiapan awal mereka memasuki IPTA,” katanya.

Menurutnya, seramai 980,120 orang pelajar telah menerima manfaat sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999.

“Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2024, seramai 980,120 orang pelajar telah menerima manfaatnya yang melibatkan peruntukan sejumlah RM1.45 bilion.

“Inisiatif ini diberikan kepada pelajar baharu warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerimanya semasa membuat permohonan melalui portal UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA masing-masing.

“Selain itu, WPP juga ditawarkan kepada para pelajar yang ibu bapa atau penjaganya merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa PTPTN mempunyai pelbagai pelan pembayaran balik yang tidak akan membebankan para peminjam untuk melangsaikan hutang mereka.

“Dalam pada itu, saya juga ingin mengingatkan kepada para peminjam yang telah menerima manfaat daripada pembiayaan PTPTN sebelum ini dan telah tamat belajar untuk menjelaskan pembayaran balik pinjaman mereka dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.

“Kita mempunyai pelbagai pelan pembayaran balik yang sudah pasti tidak akan membebankan para peminjam. Penting untuk para peminjam berbincang dengan pihak PTPTN menstruktur semula pembayaran balik dan ini semua sudah pasti untuk manfaat masa depan jika bukan adik beradik atau saudara-mara kita, mungkin untuk masa depan anak-anak kita nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.