Terus Berusaha, Berdoa Agar Kemenangan Milik BN… Corak Pentadbiran MB Johor Ada Daya Penarik

KLUANG, 23 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyeru semua jentera terus berusaha dengan lebih keras dan berdoa agar kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menjadi milik Barisan Nasional (BN) melalui calonnya Syed Hussien Syed Abdullah.

Katanya, selain corak pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah menunjukkan rekod cemerlang sebagai daya penarik, BN juga telah mengetengahkan seorang calon yang berkredibiliti serta berkebolehan.

“Alhamdulillah… momentum gerak kerja UMNO/BN di Mahkota ini sangat baik, efektif dan berfokus. Dinasihatkan jentera untuk fokus pengundi-pengundi Melayu yang menjadi tulang sokongan kepada UMNO sejak dulu lagi.

“Penerimaan masyarakat terhadap kerajaan UMNO/BN di Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi pemimpin muda, menteri besar yang termuda di negara ini menjadi satu tarikan kepada pengundi-pengundi di DUN Mahkota khususnya anak-anak muda di sini.

“Calon yang kita tengahkan juga cukup dekat di hati pengundi-pengundi muda iaitu Syed Hussien, seorang calon muda dan insya-Allah saya melihat sangat positif (penerimaan),” katanya kepada UMNO Online.

Walaupun begitu katanya, perkara yang penting adalah semua jentera parti perlu meneruskan gerak kerja turun ke akar umbi dan mendekati pengundi di pelbagai peringkat.

Jelasnya lagi, kemenangan di DUN Mahkota ini dan terdahulu yang telah dikecapi di Nenggiri sangat penting untuk pihaknya berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ulasnya lagi, adalah satu kerugian jika rakyat di Mahkota tidak memilih BN pada 28 Sept nanti.

“Saya melihat jika pengundi-pengundi di DUN Mahkota tidak memilih calon UMNO/BN, jadi satu kerugian besar kerana kerajaan negeri ini tidak boleh diubah sehingga tahun 2026, ada lebih kurang dua tahun daripada sekarang.

“Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz juga telah menunjukkan satu gerak kerja yang cukup baik dari segi pembangunan, pendidikan dan peluang pekerjaan kepada anak muda.

“Jadi saya minta pengundi-pengundi di DUN Mahkota jangan lepaskan peluang kerana ini bukan peluang yang kedua tetapi harus dikekalkan peluang yang sedia ada,” ujarnya.

Sehubungan itu tambahnya, mengekalkan kemenangan BN di Mahkota bermaksud limpahan pembangunan dan kemajuan akan berterusan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan itu.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Syed Hussien, 40, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit