Semoga BAKAT Dapat Main Peranan, Bentuk Kehidupan Selamat – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap agar Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dapat terus memainkan peranan dalam membentuk lingkungan kehidupan yang selamat.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah bertemu dengan BAKAT 7 Briged, Kluang dalam satu majlis ramah mesra pada Ahad.
“Alhamdulillah, saya berpeluang bertemu BAKAT 7 Briged, Kluang dalam satu majlis ramah mesra. Umum mengetahui bahawa BAKAT adalah sebuah organisasi yang dianggotai isteri-isteri semua lapisan pegawai dan anggota tentera. Peranan mereka dalam ekosistem Kementerian Pertahanan (MINDEF) cukup besar dan penting.
“Dalam kesempatan pertemuan itu, saya telah kongsikan beberapa perkara.
Pertama, kepentingan mereka memastikan lingkungan negara yang selamat kerana suami mereka berjuang sebagai perwira negara.
“Keadaan persekitaran negara yang tidak aman dan selamat tentu meningkatkan cabaran serta menjejaskan pencapaian perlaksanaan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap suami mereka,” katanya.
Jelasnya, kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan lingkungan kem yang sejahtera berteraskan nilai-nilai Madani bagi memastikan perlindungan sosial warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga.
“Kedua, Kerajaan dalam usaha mewujudkan lingkungan kem yang sejahtera dan berteraskan nilai-nilai Madani. Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan perlindungan sosial warga ATM dan ahli keluarga mereka.
“Ini dilakukan melalui usaha-usaha meliputi senggaraan perumahan, perkhidmatan kesihatan terbaik, pendidikan anak-anak, bantuan kebajikan dan juga pekerjaan.
“Adalah didoakan agar BAKAT dapat terus bersama-sama memainkan peranan membantu membentuk lingkungan kehidupan yang selamat, sejahtera, serta berteraskan nilai-nilai Madani,” katanya lagi. – UMNO Online