Semangat Berpasukan, Solidariti Tinggi Jentera Beri Keyakinan Rakyat Pilih BN – Syed Hussien

KLUANG, 23 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah berpandangan semangat kerja berpasukan dan bersolidariti yang diamalkan jentera mampu membuahkan hasil.

Ujarnya, semangat tersebut yang dipamerkan secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada pengundi di kawasan itu untuk memilih BN pada hari pengundian kelak.

“Hari ini kita dapat lihat solidariti sesama kita sendiri untuk menunjukkan bahawa rakyat akan terus yakin dengan satu parti yang mempunyai satu pasukan yang mempunyai semangat yang tinggi.

“Alhamdulillah bila kita mempunyai satu pasukan yang kuat, maka rakyat akan lebih yakin tentang keberadaan kita dalam kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Syed Hussien ditemui selepas hadir di program sembang santai bersama persatuan silat Gabungan Pesaka Kluang di Warong Pak Din, Kampung Melayu di sini, petang Ahad.

Hadir sama veteran UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan pemangku Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang Zainani Jamaluddin.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada Selasa ini, manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Syed Hussien, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Tambah Syed Hussien lagi, memasuki fasa minggu kedua kempen, semua pihak dalam parti sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi tahap sokongan mengikut kumpulan sasar termasuk pengundi luar sebagaimana yang telah ditetapkan.

“Pada masa sama kita tidak ketinggalan berjumpa lagi sekali kerana kita tidak boleh hanya sekali sahaja berjumpa. Perlu lihat keperluan dan kemesraan yang kita bina, kita tidak boleh hanya jumpa sekali dan berharap keadaan ini akan menjadi baik.

“Kita perlu tambahkan lagi usaha dari masa ke semasa untuk mendapatkan sokongan yang lebih padu,” katanya.

Seterusnya, Syed Hussien bersyukur kerana semua jentera termasuk wanita yang sinonim dengan Jalinan Rakyat (JR) bergerak sangat proaktif dan efektif.

“Alhamdullilah, mereka lakukan dengan sangat baik. Saya dapat lihat hari ini wanita bergerak sangat pantas dan efektif. Sesetengah mereka bergerak melalui NGO (badan bukan kerajaan), menggerakkan jentera (JR) wanita dan sesetengah mereka bergerak bersama agensi-agensi yang boleh memperkasakan wanita.

“Saya dapat lihat peranan wanita ini sangat kuat dan kerana mereka lebih mendekati dengan aktiviti-aktiviti, program-program yang boleh mengeratkan dan saya sangat bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Wanita UMNO dan Barisan Nasional khususnya,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit