Pengundi Tinggal Luar Kawasan Diseru Manfaatkan PRK, Pilih Calon Berkaliber – Wan Rosdy

KLUANG, 23 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang tinggal di luar kawasan untuk pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) 28 Sept ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, PRK ini penting untuk menentukan masa hadapan Mahkota yang turut sama memberikan kesan kepada rakyat di kawasan ini.

“Saya mengambil kesempatan menyeru mereka supaya balik pada 28 Sept ini adalah peluang kepada mereka untuk membuang undi.

“…kerana undi mereka sangat penting, supaya mereka dapat memilih calon yang benar-benar boleh memberi keinginan terhadap calon daripada BN,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi taqarub di pusat daerah mengundi (PDM) Taman Berlian.

Dalam pada itu beliau turut sama menyifatkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah sebagai pemimpin berkaliber khususnya dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Syed Hussien seorang anak muda, bertokoh, sangat komited dan saya yakin dia mampu mengalas tanggungjawab sekiranya diberikan untuk menjadi seorang wakil rakyat kerajaan yang baik di kawasan ini,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut sama meluahkan keyakinan untuk BN mengekalkan kerusi di DUN Mahkota, setelah melihat semangat kesepaduan dalam kalangan jentera UMNO/BN dalam melaksanakan gerak kerja.

“Saya nampak semangat cukup luar biasa dan komitmen daripada jentera parti bersungguh-sungguh dan saya sangat berkeyakinan insya-Allah kita akan mendapat kemenangan yang selesa.

“Kerana saya melihat sambutannya sangat luar biasa apabila melihat pelancaran jentera, penamaan calon tempoh hari.

“…dan hari ini saya datang lagi, keadaannya nampak begitu, kemudian cara berkempen, cara bekerja, semangat begitu tinggi untuk memenangkan calon Syed Hussien Syed Abdullah,” ujar beliau.

Terdahulu PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.