Pemuda UMNO Kecewa Dengan Insiden Penurunan Bendera Malaysia Di Melbourne

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hafiz Ariffin melahirkan rasa kecewa dengan sekumpulan yang bertindak menurunkan bendera Malaysia di hadapan bangunan Parlimen Victoria, Melbourne.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong berkata perkara tersebut semakin menjadi-jadi dan tidak sepatutnya berlaku serta tidak ada semangat patriotisme.

“Saya perhati sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi sentimen ekstrem sebegini berlaku. Ini tidak bagus dan tidak sihat untuk negara. Kita mesti membendung semangat kenegerian yang melampau demi melindungi patriotisme kebangsaan.

“Malaysia dibentuk hasil daripada kesusahan, pengorbanan dan penderitaan pejuang-pejuang terdahulu yang berusaha membebaskan kita dari cengkaman penjajahan asing. Melalui kesepakatan mereka maka terbentuklah negara ini yang kini dinikmati oleh setiap negeri di bawah naungannya.

“Semangat kenegerian yang positif wajar diraikan, menghargai keunikan dan kelebihan masing-masing, namun jika melampau, ekstrem, ia mengancam asas utama pembentukan ‘Persekutuan/ Federalisme’. Tiada negeri mampu berdiri sendiri dan kita semua saling memerlukan,” katanya.

Terdahulu telah tular satu video di media sosial berhubung sekumpulan bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera negeri Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang. Dalam video terbabit berlatarkan di hadapan bangunan Parlimen Victoria yang terletak di Melbourne, Australia.

Kumpulan tersebut bertindak menurunkan bendera Malaysia dipercayai sebagai simbolik kepada menurunkan penjajahan Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Tindakan menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada separuh tiang didakwa sebagai protes untuk menyampaikan mesej mereka mengenai penjajahan terhadap kedua-dua negeri tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit