Mahkota: Kemenangan BN Penting, Agenda Maju Johor Beri Manfaat Kepada Rakyat

KLUANG, 23 Sept – Pemangku Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota amat penting.

Menurutnya, perkara utama yang perlu diberi fokus adalah menyeru semua pengundi yang memihak kepada parti agar menterjemahkannya dalam bentuk undi pada hari pengundian nanti.

“Pengurusan pengundian adalah yang paling penting sebab tidak ada guna pengundi putih tetapi kita tak dapat mengeluarkan pengundi. Jadi gerak kerja kita adalah untuk memastikan semua pengundi yang memihak kepada kita untuk keluar bersama-sama.

“Saya percaya mereka akan memberi kerjasama yang baik setelah apa yang kita terang, apa yang dah kita maklumkan betapa pentingnya D-day (hari pengundian).

“Keputusan PRK pada kali ini ia bukan setakat PRK semata-mata untuk satu calon tetapi ia melambangkan satu kerjasama politik di antara BN dan PH (Pakatan Harapan),” katanya kepada UMNO Online mengenai fokus jentera wanita setelah memasuki fasa minggu kedua kempen.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada Selasa ini, manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Terdahulu, Zainani dan jentera Jalinan Rakyat (JR) melakukan aktiviti kempen dan kemudian bersama dengan Syed Hussien di program sembang santai bersama persatuan silat Gabungan Pesaka Kluang di Warong Pak Din di Kampung Melayu di sini, lewat petang Ahad.

Turut hadir veteran UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor Noor Azleen Ambros.

Tambahnya lagi, semua jentera dari pelbagai peringkat perlu bergerak sederap bagi memastikan kemenangan BN.

“Kita perlu menang dalam PRK ini. Gerak kerja perlulah sederap bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat. Sebab itu kalau tengok di Kluang ini bukan sahaja jentera di peringkat bahagian, tetapi kita dibantu dari bahagian lain dalam negeri Johor termasuk negeri-negeri lain.

“Kita nak ucapkan terima kasih kepada semua jentera Wanita yang berada dalam DUN Mahkota untuk PRK kali ini,” katanya lagi.

Seterusnya ulas Zainani, selain mempertahankan kerusi DUN Mahkota, ia juga sebagai satu kesinambungan kepada agenda Maju Johor yang mempunyai banyak inisiatif untuk manfaat rakyat.

“Perlu kekalkan kemenangan Barisan Nasional di PRK, yang mana saya percaya inisiatif-inisiatif dalam Maju Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz boleh membawa negeri Johor lebih berkembang maju. Itu yang penting.

“Kita di Kluang tidak mahu ketinggalan… rugilah rakyat Kluang kalau misalnya pada D-day nanti tidak memberi undi kepada kita (BN). Sebab saya percaya dengan kepimpinan menteri besar, banyak lagi pembangunan di Kluang yang memberi manfaat bukan kepada orang lain tetapi kepada rakyat di Kluang juga,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit