Banjir: UMNO Kedah Kesal Sikap Acuh Tak Acuh MB

KUALA LUMPUR, 23 Sept – UMNO Negeri Kedah kesal terhadap sikap acuh tak acuh yang diambil oleh Menteri Besar (MB), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana gagal pulang lebih awal untuk menguruskan bencana banjir di Kedah.

Ini kerana katanya, ia adalah lebih kepada soal kegagalan Muhammad Sanusi meletakkan perkara yang lebih penting sebagai seorang pemimpin.

“Menginsafi bencana dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat Negeri Kedah akibat bencana banjir serta ribut ketika ini, UMNO Negeri Kedah ingin menarik perhatian rakyat kepada beberapa perkara.

“UMNO Kedah yakin, tiada siapa yang mahu politikkan isu kerja-kerja kemanusiaan mengurus bencana terutamanya banjir, namun UMNO Kedah kesal akan sikap acuh tak acuh yang diambil oleh Menteri Besar Kedah kerana gagal untuk pulang lebih awal bagi mengurus bencana ini.

“Ini bukan soal proses yang sedia ada, samada, telah pun dikawal selia dengan baik atau tidak, sebaliknya lebih kepada soal kegagalan MBmeletakkan ‘prioriti’ beliau sebagai pemimpin,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, beliau menasihatkan MB untuk memberikan tumpuan sepenuhnya bagi menyiapkan loji-loji sedia ada kerana projek-projek berkenaan sedang menghadapi kelewatan ketara.

“UMNO Kedah turut melihat keangkuhan MB dan pejabat beliau yang menafikan teguran serta kekecewaan ‘netizen’ yang rata-ratanya mahu pemimpin mereka berada di lapangan dikala saat yang sangat menduga ini.

“UMNO Kedah ingin menasihati MB agar memberikan sepenuh tumpuan bagi menyiapkan loji-loji yang sedia ada. Ini kerana umum sedia maklum ia sedang menghadapi kelewatan yang sangat ketara.

“Tanpa menafikan keperluan masalah air di Langkawi perlu ditangani dengan kadar segera, namun UMNO Kedah ingin menasihati MB mencari kaedah lain yang lebih cepat dan realistik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahya untuk tidak bersungguh-sungguh mempertahankan MB.

“UMNO Kedah ingin menasihati Ahmad Yahya, usahlah ghairah untuk mempertahankan MB sehingga beliau hilang pertimbangan… seumpama pembelaan melulu sebelum ini apabila MB ‘berkaraoke’ selewat jam 2.00 pagi bersama perempuan bukan muhrim di halaman TikTok.

“Bak kata orang lama-lama ‘yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan’. Semoga kita ambil iktibar daripada segala apa yang berlaku,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Ahmad Yahaya berpendapat bahawa isu banjir tidak sewajarnya dipolitikkan untuk meraih laba politik oleh pihak-pihak tertentu kerana ia berlaku di luar kawalan.

Menurutnya, musibah banjir yang berlaku seharusnya menjadi medan untuk semua pihak saling membantu meringankan beban mangsa banjir, bukannya menuding jari mencari kesalahan pihak lain.

Jelasnya, ketiadaan MB ketika banjir melanda negeri ini tidak sewajarnya dipolemikkan dan dijadikan isu politik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit