Tiada Istilah Boikot, Misi Wanita Menangkan Calon BN

KLUANG, 22 Sept – Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar menegaskan bahawa tiada istilah boikot bagi Wanita UMNO kerana misi sekarang adalah untuk menangkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Katanya, selepas pengumuman calon dibuat iaitu Syed Hussien menjadi wakil BN di DUN Mahkota maka jentera Wanita terus bekerja pastikan kemenangan kekal milik BN.

“Arahan Ketua Wanita BN/UMNO, Datuk Seri Dr Noraini bahawa kita akan terus bekerja bagi menentukan kemenangan Syed Hussien. Jadi kerja boikot ini bukan kerja Wanita. Wanita tak akan buat kerja ini sama sekali sebab Wanita telah terkenal dengan kesetiaan dan taat kepada parti ini.

“Siapa pun calon yang telah ditetapkan oleh Presiden, maka kita akan pastikan kemenangan. Tak ada lagi ‘ding dong ding dong’ di belakang, tak ada,” katanya kepada UMNO Online yang menolak dakwaan negatif terhadap Wanita UMNO.

Ujar Rosni, jentera Wanita adalah pasukan yang paling dominan dalam pilihan raya khususnya dimana-mana PDM yang melaksanakan gerak kerja.

“Kita nampak jelas, jentera wanitalah yang paling dominan di peringkat PDM… di mana-mana pun. Ini menunjukkan kesetiaan Wanita kepada parti adalah jelas dan nampak, bukan kita depan lain, belakang lain… tak ada.

“Kita tetap berada di sini, di gelanggang ini, walaupun baru sahaja habis di Neggiri terus sambung ke sini, kita akan tetap hadir dan beri komitmen kepada kemenangan Barisan Nasional bagi mempertahankan DUN Mahkota dengan majoriti lebih baik, insya-Allah.”

Dalam hal ini beliau mebidas pihak yang sengaja menimbulkan isu berkaitan malah dianggap sebagai politik murahan.

“Jangan main politik murahanlah. Boikot ini tak masuk dalam gelanggang Wanita. Wanita tak ada perkara itu malah tidak ada dalam otak kami pun. Wanita UMNO yang terkenal dengan kesetiaan tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini oleh parti dan kesetiaan kami tidak boleh dinafikan.

“Sebab itu permainan kotor macam ini tak payahlah untuk kita masukkan. Kita terus berkorban demi parti. Saya pun pernah tak dapat macam tu, tapi itu bukan ukuran kita. Kita nak pastikan kemenangan semua, insya-Allah.

“Dalam mana-mana PRK pun, PRN atau PRU, Wanitalah menjadi jentera, ataupun ‘soldiers’ yang paling setia, yang tak ada dalam parti-parti lain. Hanya dalam UMNO. Ini tidak boleh nafikan,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit