Syed Hussien Teruskan Keharmonian Perjalanan ‘Kempen Keluarga’ DUN Mahkota

KLUANG, 22 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah mengakui bahawa keharmonian antara kaum adalah perkara paling penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Justeru katanya, sepanjang perjalanan kempen yang telah memasuki minggu kedua ini beliau berkata ia lebih kepada suasana ‘kempen keluarga’ lantaran berada di tempat sendiri dan mesra dengan para penduduk tempatan.

“Paling penting adalah keharmonian antara kaum yang sangat baik di sini dan saya telah bertemu dengan masyarakat pelbagai peringkat yang semuanya amat baik,” katanya.

Syed Hussien melihat memenangi DUN Mahkota ini amat penting sebagai manifestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat di samping meneruskan keseimbangan politik.

“Kita perlu lihat daripada landskap atau kestabilan politik untuk membentuk negara yang lebih maju atau mampan bagi diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kesinambungan pentadbiran BN di DUN Mahkota ini adalah penerimaan untuk menterjemahkan aspirasi politik supaya tak terkepung dengan elemen-elemen negatif sebaliknya untuk membawa kepada pembangunan dan kemajuan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan malam tadi melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.

Syed Hussien juga melahirkan harapan yang amat tinggi sekiranya menjadi wakil rakyat kelak iaitu mengambil peranan meneruskan pembelaan masyarakat di sini.

“Harapan saya amat tinggi buat semua anak-anak Kluang untuk ambil peranan bagi membentuk satu pendekatan baharu dan memastikan kita terbela demi masa depan generasi akan datang.

“Saya merayu dan menyeru untuk pengundi memberikan sokongan dan mengundi BN, Buktikan solidariti kita untuk mewariskan perkara terbaik kepada generasi akan datang,” katanya lagi.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.