PRK Mahkota: Surat Layang Bukti Sikap Tidak Matang Pihak Lawan – Shamsul Anuar

KLUANG, 22 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk tidak terpengaruh dengan dakyah dibawa pihak lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Katanya, ini kerana perbuatan menyebarkan surat layang ketika kempen PRK jelas menunjukkan sikap tidak matang mereka sebagai pembangkang.

“Budaya politik tidak matang, tidak sesuai dengan amalan demokrasi dalam negara ini dan sudah tentu ia mesti ditolak oleh rakyat di Mahkota.

“Kali ini nasihat saya kepada pengundi di DUN Mahkota supaya jangan terpengaruh dengan apa juga fitnah, dakyah dan juga pempengaruh daripada pihak lawan… kerana kita percaya ketika momentum BN di DUN Mahkota begitu baik ini menggusarkan pihak pembangkang.

“Sebab itu mereka akan menggunakan apa juga cara untuk mempengaruhi pengundi dengan pelbagai propaganda termasuklah menggunakan surat layang melalui sosial media dan sebagainya,” katanya.

Dr Shamsul ditemui selepas taqarrub di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Baru, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut sama menyeru pengundi di Mahkota untuk hanya menerima maklumat daripada sumber yang betul dan menyemaknya sekiranya ia bersifat propaganda.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran surat layang mendesak pengundi Cina tidak keluar mengundi pada 28 Sept ini.

Beliau juga percaya bahawa surat layang tersebut bertujuan mahu mengurangkan sokongan terhadap BN khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

“Rujuklah kepada sumber yang betul dan baik. Saya percaya usaha pihak pembangkang untuk memberikan kekeliruan dalam kalangan pengundi-pengundi. Setidaknya mereka mahu mengurangkan majoriti atau mahu mengalahkan BN.

“Saya percaya mereka lakukan ini sebenarnya adalah usaha untuk mengurangkan sokongan dalam kalangan masyarakat Cina kepada kita setelah mereka melihat bahawa masyarakat Cina menyokong calon BN.

“Sebab itu, baik kepada pengundi-pengundi dari kalangan orang Melayu dan masyarakat Melayu kita mesti menolak budaya politik yang tidak sihat di negara ini,“ ujar beliau.

Terdahulu, PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.