PRK Mahkota: ‘Sebar Surat Layang Bukan Cara Anak Jantan’ – Abdul Rahman

KLUANG, 22 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad membidas dalang yang menyebarkan surat layang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Katanya, surat layang yang meminta pengundi untuk tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sebagai tidak bertanggungjawab, sambil menyifatkan bukan cara anak jantan.

“Saya percaya bahawa surat yang dikeluarkan itu merupakan surat layang kerana kalau bukan surat layang, mestilah berani tampil ke depan.

“Sama ada menerusi ceramah, keluarkan surat edaran yang bernama. Baru itu anak jantan namanya tetapi sekarang melalui surat layang, berertinya mereka yang sudah pastilah yang tidak sukakan BN ataupun UMNO.

“Dan kebiasaannya yang tidak suka adalah pihak lawan, kita kena ingat dan ini mesti pengundi berhati-hati atas isu yang dimainkan oleh pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO selepas ziarah kasih di pusat daerah mengundi (PDM) Jalan Hospital.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO bahagian dan Ahli Parlimen Lipis dalam pada itu mengkritik mesej dalam surat layang tersebut yang berkata UMNO/BN akan sombong sekiranya memenangi PRK ini.

“Hendak dikatakan berlagak, apa yang berlagak? Ini adalah tempat UMNO yang dimenangi majoriti yang agak besar sebelum ini.

“Allahyarham Datuk Sharifah Azizah yang dimenangi besar berartinya kawasan ini merupakan kawasan UMNO yang begitu kuat, begitu kukuh.

“Tidak mungkin mereka akan lari dengan isu yang dimainkan kononnya UMNO nak berlagak. UMNO tak pernah berlagak pun, yang berlagaknya kebiasaan mereka,” ujar beliau.

Dalam terjemahan surat layang berkenaan, pengundi Cina digesa supaya tidak undi BN dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebagai memberi pengajaran kepada UMNO yang didakwa sombong sekali gus untuk semak dan imbang dalam Kerajaan Negeri Johor.

Terdahulu pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit