Jauhkan Politik Kebencian, Berkempen Secara Sihat Di DUN Mahkota – Tengku Zafrul

KLUANG, 22 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru semua pihak untuk menolak politik kebencian dalam tempoh berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Katanya, pendekatan negatif dalam usaha untuk meraih undi adalah sesuatu yang perlu ditolak dalam masyarakat.

“Jauhkan parti dari politik kebencian… tak elok untuk masyarakat apabila kaitkan dengan politik kebencian. Kita perlu saling hormat agama dan bangsa masing-masing kerana masyarakat kita pelbagai kaum.

“Jangan politik atau polemikkan isu-isu yang sensitif sebaliknya kita perlu tekankan kepada cabaran-cabaran atau isu-isu rakyat. Apa rancangan kita terhadap isu rakyat iaitu bagaimana untuk bantu dan selesaikan kerana rakyat nak lihat kepada pembangunan, kemajuan dan sebagainya,” katanya.


Beliau yang juga Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan malam tadi melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.

Ujar Tengku Zafrul, selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang ditugaskan di PDM Kampung Melayu 2, beliau telah turun padang dan sama-sama berkempen bagi meraih undi dan sokongan daripada masyarakat setempat.

“Saya telah bersama-sama dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan, berjumpa dengan pengundi pelbagai bangsa dan bersama-sama masyarakat setempat di sini. Saya dapat melihat bahawa penerimaan masyarakat DUN Mahkota ini adalah amat baik dan positif.

“Walaupun dari segi atas kertas kita nampak kuat namun jangan terlalu yakin dan tidak boleh ambil mudah tentang perkara berkaitan sebaliknya semua jentera perlu terus berusaha dengan gigih untuk pastikan kemenangan calon BN dan berkempen secara sihat dengan jauhkan politik kebencian.”

Katanya, walaupun di PRK DUN Nenggiri yang berlangsung bulan lalu BN telah memperoleh kemenangan besar namun ia adalah berbeza dengan DUN Mahkota dari segi demografinya.

“Kita jangan terlalu yakin kerana saingan berbeza. Demografi di DUN Mahkota lebih mirip kepada kebangsaan lantaran pecahan kaum antara Melayu, Cina dan India sedangkan di Nenggiri lebih kepada bangsa Melayu.

“Justeru pentingnya DUN Mahkota untuk kita menang kerana ini adalah penanda aras tahap sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan. Kita perlu analisis segala respon dari pengundi untuk perbaiki di peringkat kebangsaan,” katanya.

Menyentuh berkaitan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, Tengku Zafrul mengakui bahawa BN mempunyai pelbagai kelebihan berbanding parti lawan.

“Ini adalah calon yang baharu, masih muda, seorang yang aktif, bertenaga dan telah lama terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau perlu dipilih sebagai wakil kerana diyakini boleh bekerja, boleh berkhidmat dan saya yakin bahawa Syed Hussien ini mampu melaksanakan amanah. Beliau mampu bercakap dan berkomunikasi dengan baik serta menyantuni masyarakat,” jelasnya lagi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.