Sumbangan Wanita UMNO/BN Cukup Besar, Kekalkan Momentum Kemenangan

KLUANG, 21 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata harus diakui bahawa sumbangan dan jasa golongan wanita cukup besar bagi memastikan kelangsungan parti.

Kata Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, baik ketika menjalankan aktiviti komuniti, mesyuarat parti hinggalah dalam kempen pilihan raya, Wanita UMNO yang dikenali melalui jentera Jalinan Rakyat (JR) sentiasa bertungkus-lumus menjayakan tanggungjawab yang diberikan.

Justeru mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ini, Mohd Rafi berkata semua jentera bermula di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu bekerja keras bagi mengekalkan momentum kemenangan sebagaimana di Nenggiri.

“Momentum kemenangan sudah ada di depan… kita mahu gelombang kebangkitan di Nenggiri kita bawa ke Mahkota ini. Untuk mencipta kemenangan, jentera-jentera di PDM Kampung Melayu Timur II inilah yang boleh membantu untuk menang dengan majoriti yang lebih besar, jika kita buat kerja dengan sebaik mungkin.

“Kita perlu bekerja keras sepertimana di Nenggiri, kita mampu meraih sokongan daripada orang Melayu dan anak muda. Alhamdulillah. Pengundi saluran muda di Nenggiri semua kita menang. Yang seterusnya pengundi luar begitu juga. Mudah-mudahan DUN Mahkota ini kita ulangi kemenangan sebagaimana di Nenggiri,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan bersama jentera Wanita di PDM Kampung Melayu Timur II, di sini, Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Kerja UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian Datuk Mohd Sumali Reduan dan kepimpinan bahagian angkat bagi PDM tersebut.

Manakala sebelah petangnya, Mohd Rafi dan Sumali melakukan ziarah kasih ke beberapa buah rumah di sekitar Kampung Palembang Baru, di sini.

Seterusnya, Mohd Rafi turut berpesan kepada jentera agar jangan berasa selesa walaupun Barisan Nasional (BN) dilihat mampu mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota.

“…bekerjalah dalam tempoh berkempen tingkatkan sokongan pengundi dan bawa keluar mengundi pada hari pengundian,” ujarnya.

Tambah Mohd Rafi lagi, rakyat khususnya pengundi di DUN Mahkota mempunyai kelebihan kerana berada di bawah sebuah pentadbiran kerajaan yang efektif.

“Alhamdulillah kita lihat antara kerajaan yang paling efektif adalah Kerajaan Negeri Johor. Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) yang termuda, calon muda dan saya rasa itu aspek yang cukup positif untuk rakyat memilih,” katanya lagi.

PRK DUN Mahkota ini diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit